KOTA BHARU – Dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penuntut kolej wanita yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Padang Simah, Ketereh, Jumaat lalu, tiba di mahkamah pagi ini untuk proses permohonan sambung reman.
Kedua-dua suspek berusia 19 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis.
Difahamkan, salah seorang daripada suspek merupakan pelajar kolej di Kuala Krai.
Kedua-dua mereka sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tempoh reman tersebut berakhir hari ini.
Polis bagaimanapun memohon sambungan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk melengkapkan beberapa aspek penting berkaitan kes berprofil tinggi itu.
Dalam kejadian yang menggemparkan itu, mayat mangsa yang juga penuntut kolej berusia 19 tahun ditemukan di kawasan Kampung Padang Simah, Ketereh dalam keadaan menyayat hati.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 61 kesan tikaman pada seluruh anggota badan mangsa, dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam.
Mangsa juga dilaporkan ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, sekali gus menyukarkan proses pengecaman pada peringkat awal.
Bagaimanapun, identiti mangsa akhirnya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan Kampung Padang Simah.
Penemuan mayat mangsa mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat memandangkan kes berkenaan disifatkan sebagai antara kejadian jenayah paling kejam berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.
Susulan penemuan mayat mangsa, polis bertindak pantas menahan empat individu bagi membantu siasatan termasuk dua remaja lelaki terbabit.
Turut ditahan sebelum ini ialah dua warga emas yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek.
Bagaimanapun, kedua-dua warga emas tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin selepas siasatan awal mendapati mereka tidak terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
Sementara itu, polis dipercayai masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti motif pembunuhan, hubungan antara suspek dan mangsa serta lokasi sebenar kejadian pembunuhan berlaku.
Tinjauan di mahkamah pagi ini mendapati kawalan keselamatan dipertingkatkan dengan kehadiran anggota polis bagi memastikan proses permohonan reman berjalan lancar.
Kedua-dua suspek dilihat memakai pakaian lokap dan dikawal ketat ketika dibawa masuk ke kompleks mahkamah.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai susulan kekejaman dilakukan terhadap mangsa selain pelbagai spekulasi yang tular di media sosial sejak kejadian berlaku.
Namun pihak polis sebelum ini meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L