BERITA UTAMA
Port lumba haram Persiaran Raja Muda Musa digempur

Port lumba haram Persiaran Raja Muda Musa digempur

KLANG – Aksi penunggang motosikal dipercayai berlumba selain melakukan pelbagai aksi berbahaya mengundang padah apabila ditahan dalam serbuan dekat Persiaran Raja Muda Musa di sini pada Ahad.

Sinar Harian yang mengikuti operasi bermula kira-kira jam 3 pagi mendapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan individu mempamerkan aksi tunggangan berbahaya sekitar jam 12 tengah malam.

Lokasi meliputi jarak kira-kira tiga kilometer itu turut dipenuhi beberapa individu yang berada di bahu jalan untuk menyaksikan aksi berbahaya dipamerkan.

Difahamkan, lokasi terbabit bukan sahaja menjadi tumpuan anak tempatan di sekitar malah turut didatangi individu dari luar daerah Klang.

Operasi bersepadu samseng jalanan melibatkan seramai 69 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula apabila dua persimpangan dan beberapa lokasi termasuk 16 lorong tikus di sekitar lokasi mula ditutup pihak berkuasa itu.

Tinjauan mendapati beberapa penunggang motosikal cuba melarikan diri termasuk ada yang sanggup membahayakan nyawa dengan melawan arus bagi mengelakkan ditangkap.

Bagaimanapun, tindakan itu sia-sia apabila keseluruhan jalan telah dikepung dan percubaan itu berjaya digagalkan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi dijalankan susulan maklumat yang diterima berkaitan kegiatan lumba haram di lokasi terbabit.

Beliau berkata, risikan dijalankan pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan sejak tiga minggu lalu.

“Operasi melibatkan pemeriksaan sebanyak 125 motosikal pelbagai jenis dan seramai 150 individu berumur lingkungan 15 hingga 30 tahun diperiksa.

“Seramai enam individu terdiri daripada lelaki warga tempatan berumur sekitar awal 20-an dipercayai berlumba selain tiga lagi individu lingkungan umur sama ditahan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya pada Ahad.

Katanya, lebih 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan dikesan menerusi operasi ini adalah tidak memiliki lesen memandu selain cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh.

“Kesalahan lain turut dikesan melibatkan modifikasi motosikal antaranya ubah suai nombor pendaftaran dan struktur motosikal serta pelbagai kesalahan lain,” katanya.

Menurutnya, kesemua individu serta motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan berkaitan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, pemeriksaan secara lanjut turut dijalankan melibatkan kesemua individu yang ditahan ketika operasi berkenaan,” katanya.

Hoong Fong menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengawal anak mereka agar tidak terjebak dalam melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.

“Ibu bapa harus melakukan pemantauan sekiranya melihat anak mereka aktif sekitar lewat malam sehingga awal pagi.

“Mereka juga perlu tahu dengan siapa anak mereka berkawan selain pastikan mereka berada di rumah terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan sikap segelintir orang ramai menjadi penonton kepada lumba haram antara ‘pendorong semangat’ kepada samseng jalanan untuk mempamerkan pelbagai aksi berbahaya.

“Menyaksikan lumba haram ini melibatkan pelbagai risiko terhadap keselamatan kepada mereka yang terlibat.

“Bayangkan sekiranya berlakunya kemalangan, ia akan melibatkan keselamatan orang ramai itu sendiri, jadi kita tegaskan, jangan terlibat dalam kegiatan yang membahayakan nyawa ini,” katanya.

Katanya, tindakan operasi serta penguatkuasaan sentiasa dipertingkatkan bagi membendung aktiviti lumba haram dan pelanggaran peraturan jalan raya.

“Pelaksanaan operasi dijalankan dengan kerap selain sekatan jalan raya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan lumba haram.

“Orang ramai turut dialukan memberikan sebarang info dan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya diambil,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *