Oleh Abd. Ghaffar Daud
KOTA BHARU – Sebanyak lima buku terbitan Kembara Sastera (KS) telah dilancarkan di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Antara buku itu ialah antologi puisi tulis tangan ‘Catatan Nurani’ melibatkan 40 penulis yang mengandungi 55 sajak.
Kedua, antologi pantun daripada tujuh penulis yang mengandungi lapan syair, 12 gurindam, tiga sonian dan seorang penulis Haiku untuk sebuah buku.
Ketiga, antologi sajak ‘Citra Tinta Pen Merah’ seramai 44 penulis yang mengandungi 75 penghasilan sajak.
Keempat, antologi cerpen ‘Bukan Khilafnya’ dan catatan sempena Hari Guru 2024 yang ditulis oleh 13 penulis dan 14 penulis bagi genre catatan.
Kelima, buku kumpulan drama radio dari seorang penulis.
Lima buku itu dilancarkan Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Kelantan, Mohd Azizi Zainudin.
Turut hadir, Penasihat KS, Mazli Husma; Pengerusi KS, Mukhtar Mustafa; Timbalan Pengerusi KS, Nik Zainun Nik Abu Bakar; dan Ketua Satu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Abham TR.
Menurut Mohd Azizi, dengan adanya KS sekali gus mengeratkan silaturahim antara penulis dari seluruh negara.
Katanya, penulis adalah satu anugerah daripada Allah yang dipilih agar memanfaatkan setiap tulisannya kepada masyarakat.
“Semua orang ada cerita, namun tidak semua boleh menulis cerita tersebut yang berbentuk kreatif,” katanya dalam ucapan perasmiaan.
Kata Mohd Azizi lagi, Perbadanan Perpustakaan Kelantan menyokong penuh usaha KS dan mengharapkan semoga penulis mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT t atas sumbangan karya yang bermanfaat untuk pembaca.
Sementara itu, penulis cerpen dan catatan, Abd Ghaffar Daud berkata, buku antologi tersebut merupakan yang kelima diterbitkan setakat ini.
Buku pertamanya yang mengandungi cerpen ‘Menjinak Hujan’ diterbitkan oleh Nusa Centre dan diselenggarakan oleh S.M. Zakir, diikuti cerpen keduanya, ‘Kunang-Kunang Satu Malam’ juga terbitan Nusa Centre diselenggarakan oleh Salina Ibrahim dan tiga lagi terbitan KS.
“Kali ini cerpen dan catatan saya bertemakan guru sempena sambutan Hari Guru,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252