BERITA UTAMA
Kereta dipandu Mansor hilang kawalan, rempuh pembahagi jalan

Kereta dipandu Mansor hilang kawalan, rempuh pembahagi jalan

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh, 71, maut selepas kereta Proton Iswara dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Alam Damai, Cheras, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan berlaku pada jam 10.10 pagi akibat terbabas di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu dari arah Taman Len Seng Ke Taman Alam Damai sebelum kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan berita duka kehilangan Mansor dalam nahas jalan raya itu dikongsi oleh pengarah dan pelakon, Mior Hashim Manap.

“Saya dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp. Berita ini dikongsi anak buah seorang sahabat kami yang juga anggota polis trafik,” katanya.

Mansor dikenali dengan sikapnya yang suka menderma darah dan pernah menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.

Pada 2021 dilaporkan Mansor adalah rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara. Mansor sudah berusia lebih 60 tahun, tetapi masih komited mendermakan darah demi membantu sesama insan.

Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.

Beliau pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun Di Residensi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *