KOTA BHARU – “Ada ketikanya saya terpaksa menebalkan muka untuk berhutang terutamanya untuk membeli keperluan suami yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lima tahun lalu,” kata Mek Yam Awang Ahmad, 53.
Mek Yam berkata, suaminya, Ismail Yahya, 61, yang sebelum ini bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya diserang angin ahmar kali ketiga sehingga menyebabkannya lumpuh serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM1,000 untuk membeli barang keperluan suaminya termasuk susu dan juga lampin pakai buang.
“Bantuan bulanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 tidak mencukupi untuk menampung keperluan suami dan ada kalanya terpaksa menebalkan muka meminjam wang dan meminta belas ihsan daripada saudara terdekat.
“Anak-anak yang lain ada juga membantu menghulurkan wang, namun sekadar yang termampu kerana mereka bukan orang yang senang selain mempunyai tanggungjawab pada keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Kampung Sungai Budor.
Katanya, sejak suaminya terlantar, segala keperluannya termasuk memberi makan dan minum, menukar lampin pakai buang dan mengelap badannya dilakukan olehnya dan ada kalanya dibantu anak.
“Saya bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik untuk menguruskan suami yang terlantar.
“Saya menganggap dugaan dan cabaran yang dilalui sekarang ini sebagai sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menjadi lebih kuat,” katanya.
Mek Yam berkata, walaupun kehidupannya sekeluarga sekadar cukup makan, dia tetap bersyukur.
“Setiap hari saya dan anak-anak sentiasa memberi kata-kata semangat selain kami tidak pernah putus berdoa agar suami kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0399541100103602 atas nama Mek Yam Awang Ahmad. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252