KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi pelbagai kesalahan terhadap premis pelacuran menerusi Operasi Tindakan Khas Pusat Urut di sekitar Parlimen Seputeh di sini, kelmarin.
Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan itu dilakukan menerusi siasatan serta risikan selama lima hari di sekitar kawasan terbabit.
“Tindakan diambil menerusi siasatan dan risikan yang dijalankan selama lima hari di sekitar kawasan berkenaan.
“Siasatan juga mendapati semua premis berkenaan menjalankan perniagaan pusat urut tanpa lesen perniagaan sah.
“Hasil operasi yang dijalankan sebanyak lima notis kompaun di bawah Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan mendirikan struktur dalaman tambahan tanpa kebenaran,” kata kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook DBKL.
Menurut kenyataan itu, lima lagi dikenakan tindakan bawah UUK 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 bagi kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan pusat urut tanpa lesen yang sah telah dikeluarkan.
Selain itu, sebanyak 82 struktur dalaman yang dibina telah dirobohkan dan kesemua premis dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta barangan yang melibatkan perniagaan telah disita.
DBKL turut memaklumkan kesemua barangan yang disita dihantar dan disimpan di setor Jalan Lombong, Cheras, Kuala Lumpur.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252