Celik Media Warga Emas: Benteng Menangani Jenayah Digital Dan AI

Oleh: Dr. Suhaini Muda

DALAM era kepesatan teknologi maklumat hari ini, penggunaan telefon pintar dan media digital bukan lagi satu kehendak, sebaliknya telah menjadi keperluan asas dalam kehidupan harian.

Meskipun kemajuan teknologi digital membolehkan masyarakat berhubung dengan mudah dan mengakses pelbagai maklumat, ia turut membawa cabaran baharu dalam bentuk ancaman jenayah siber, penipuan dalam talian (scammer), serta manipulasi maklumat menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).

Golongan warga emas sering kali dikesan sebagai kumpulan yang berisiko tinggi terhadap taktik penipuan digital akibat jurang kemahiran serta pendedahan keselamatan yang terhad.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Menyedari keperluan mendesak untuk membendung isu ini, Kumpulan Penyelidikan Digital Equity, Literacy and Inclusive Media Advancement (RG DELIMA) di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif melalui  menganjuran Bengkel Warga Emas Berdaya: Celik Media, Sejahteralah Kita.

Program libat urus komuniti itu dilaksanakan menerusi sinergi strategik bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kubang Pasu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kubang Pasu, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Usia Emas.

Bengkel itu menghimpunkan seramai 40 orang peserta warga emas dari PAWE Kubang Pasu yang berumur dalam lingkungan 60 hingga 78 tahun, yang diadakan di kampus UUM pada 3 November lepas.

Objektif bengkel itu antara lain mengenal pasti tahap literasi media dan keupayaan warga emas dalam melindungi diri daripada risiko jenayah digital, selain menyediakan latihan asas literasi media dan panduan keselamatan digital yang praktikal serta mudah difahami.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Ancaman Jenayah Siber dan Jurang Literasi Digital Warga Emas

Penggunaan telefon pintar dalam kalangan warga emas sememangnya memberi manfaat besar, terutamanya dalam mengekalkan silaturahim dengan ahli keluarga serta memudah cara urusan seharian.

Bagaimanapun, keupayaan untuk menilai kesahihan mesej, melindungi maklumat peribadi sensitif, dan mengenali modus operandi penipuan digital merupakan cabaran utama yang perlu ditangani secara bersasar.

Penggunaan teknologi AI oleh sindiket penipuan terkini berupaya meniru suara dan mencipta gambaran palsu yang kelihatan sangat meyakinkan.

Tanpa kemahiran literasi digital yang kukuh, warga emas mudah terpedaya dengan panggilan telefon penipuan yang meminta nombor akaun bank, Kata Laluan Sekali Guna (OTP), mahupun Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Modul Pembelajaran Praktikal

Pelaksanaan bengkel berpandukan dua modul yang direka secara interaktif dan bersemuka dengan memberikan penekanan kepada latihan praktikal serta simulasi situasi sebenar.

Modul Satu yang bertajuk “Kenali Telefon, Lindungi Maklumat” memberi tumpuan kepada pendedahan fungsi asas telefon pintar, kaedah tetapan keselamatan, pengurusan kata laluan, serta kepentingan menjaga kerahsiaan maklumat perbankan.

Sementara Modul Dua (Semak Dahulu Sebelum Percaya dan Kongsi) melatih peserta untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, mengenali tanda-tanda penipuan atas talian, memahami ancaman teknologi AI, serta langkah-langkah betul untuk mendapatkan bantuan sekiranya menjadi mangsa penipuan.

Kesedaran Baharu Membenteng Diri

Para peserta memberi maklum balas yang positif terhadap program itu kerana mendapat pendedahan secara terus mengenai ancaman siber yang sebelum ini hanya didengari secara umum.

Menurut Rahim Omar Zainuddin, 65, bengkel itu memberikan penjelasan yang cukup lengkap mengenai istilah dan taktik penipuan siber.

“Sebelum ini saya hanya mendengar perkataan AI dan scammer tanpa memahami maksud sebenar. Selepas mengikuti program ini, saya mendapat pengetahuan yang lebih jelas dan lengkap berkaitan cara-cara menghadapi scammer. Pengetahuan ini sangat penting supaya warga emas seperti kami tidak mudah tertipu pada masa akan datang,” katanya.

Bedah Abdul Hamid, 63, pula berpendapat bengkel itu menguatkan lagi ikhtiar beliau untuk berwaspada apabila dihubungi pemanggil tidak dikenali.

“Pernah ada pemanggil menawarkan hadiah dan mendakwa anak saya menang peraduan lalu meminta nombor akaun. Namun, saya mengambil langkah berhati-hati dengan merujuk anak saya terlebih dahulu. Ternyata anak saya tidak pernah menyertai sebarang peraduan. Pengalaman itu mengajar saya, dan bengkel ini membolehkan saya memahami teknologi AI serta langkah mengatasinya dengan lebih yakin,” kongsinya.

Sementara itu, Puan Ku Penoh Ku Bulat, 70 yang pertama kali menghadiri program seumpama itu mengakui kurang mahir menggunakan fungsi telefon digital dan amat bergantung kepada bantuan anak-anak untuk mengelakkan penipuan.

“Sekarang saya lebih faham mengenai maklumat betul dan salah serta ancaman AI. Saya amat menyokong agar program seperti ini diperbanyakkan lagi untuk golongan tua seperti kami,” ujarnya.

Penyelia PAWE RTC Napoh, Siti Nor Aishah Saleh berpuas hati kerana para peserta menunjukkan peningkatan kefahaman yang ketara mengenai modus operandi penipuan serta saluran untuk mendapatkan bantuan rasmi.

Sinergi Pemindahan Ilmu dan Kelangsungan Komuniti

Program keterlibatan masyarakat ini bukan sahaja menyokong aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme – KTP) UUM, malah sejajar dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antaranya, Pendidikan Berkualiti/Pembelajaran Sepanjang Hayat (SDG4),  Mewujudkan Keterangkuman Digital dan Mengurangkan Ketidaksamaan (SDG10) serta  (Rakan Kerjasama Demi Matlamat (SDG17).

Melihat kepada impak positif dan permintaan tinggi daripada peserta, pihak penganjur bersama PAWE dan JKM komited untuk memperkasakan modul latihan itu pada masa akan datang.

Antara cadangan penambahbaikan termasuk memanjangkan tempoh latihan, membanyakkan aktiviti simulasi berkumpulan, serta menyediakan kit panduan khas yang boleh diguna oleh ahli komuniti secara berterusan.

Jelas bahawa, usaha murni antara universiti, agensi kerajaan dan organisasi komuniti itu membuktikan golongan warga emas tidak pernah dipinggirkan dalam arus pemodenan digital, sekali gus memastikan kesejahteraan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.

Dr. Suhaini Muda merupakan ahli Kumpulan Penyelidikan Digital Equity, Literacy and Inclusive Media Advancement (RG DELIMA), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), serta ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE).

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *