KUALA LUMPUR – Impact Capital Holdings Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 32 sen sesaham, iaitu premium 10 sen atau 45.45 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen.
Bagaimanapun, saham syarikat teknologi yang berpangkalan di Sarawak itu susut selepas dibuka, mencecah paras terendah 23 sen sebelum didagangkan pada 24 sen dengan lebih 77 juta saham bertukar tangan setakat pukul 9.15 pagi.
Pada harga dagangan terakhir itu, Impact Capital mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM115 juta.
Penampilan sulung syarikat itu turut mendapat perhatian susulan permintaan tinggi pelabur sebelum penyenaraian, apabila bahagian saham yang diperuntukkan kepada pelabur runcit terlebih langgan hampir 140 kali.
Prestasi saham Impact Capital juga mendapat sokongan daripada pemulihan ketara saham teknologi global, sekali gus mencetuskan sentimen positif terhadap sektor teknologi tempatan.
Impact Capital yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak, menyediakan perkhidmatan integrasi peralatan dan sistem teknologi untuk infrastruktur termasuk telekomunikasi, rangkaian perniagaan, pusat data serta sistem keselamatan.
Pengarah Urusan Impact Capital Holdings Berhad, Winston Chai Fung Chun berkata, pihaknya berhasrat untuk meluaskan jejak operasi, mengukuhkan keupayaan tenaga kerja dan pembangunan perniagaan, dan meningkatkan keupayaan teknologi syarikat termasuk melalui DISC yang dirancang.
Menerusi IPO berkenaan, syarikat mengumpul RM21.3 juta daripada penerbitan saham baharu bagi membiayai keperluan pengembangan perniagaan dan operasi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Daripada jumlah itu, RM4.7 juta diperuntukkan untuk membuka pejabat baharu di Lembah Klang dan Johor Bahru bagi memperluas hubungan dengan pelanggan di luar Malaysia Timur.
Peruntukan sama turut merangkumi kos pemindahan pejabat sedia ada di Bintulu dan Kota Kinabalu ke lokasi baharu dalam bandar berkenaan.
Selain itu, RM4.5 juta akan digunakan bagi pengembangan tenaga kerja dan pembangunan perniagaan, manakala RM2.1 juta diperuntukkan untuk menubuhkan pusat inovasi dan penyelesaian digital di Lembah Klang.
Baki hasil IPO pula akan digunakan sebagai modal kerja serta membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
