Buru Jho Low? Fokus pemulangan aset 1MDB ketika ini - Saifuddin

Buru Jho Low? Fokus pemulangan aset 1MDB ketika ini – Saifuddin

PUTRAJAYA – Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperoleh semula aset yang dikaitkan dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan pemeteraian perjanjian sulit Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya difahamkan penyelesaian telah dicapai antara DOJ dan ahli perniagaan dalam buruan itu, dan ia menjadi urusan kedua-dua pihak terbabit.

“Tetapi bila aset itu dikembalikan kepada DOJ, kita tahu ia membabitkan aset negara kita.

“Jadi, sudah tentu fokus kita adalah pemulangan aset… itu sahaja fokus kita. Saya tak berminat nak komen lebih daripada itu,” katanya dipetik AWANI.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Larian Keselamatan Komuniti bagi meraikan Ulang Tahun ke-217 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Ditanya mengenai usaha memburu Jho Low, Saifuddin berkata, kerajaan sejak pentadbiran sebelum ini konsisten untuk menguruskan isu penyelesaian aset 1MDB.

“Kemudian kita ada penyelesaian global dengan Goldman Sachs pada zaman (pentadbiran) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau di sini diberitakan DOJ berjaya mengenal pasti sejumlah aset yang akan mereka ambil alih, jadi fokus kita adalah pemulihan aset. Saya ingat itu adalah keutamaan buat masa ini,” tambahnya.

Pada 28 Jun lalu, media antarabangsa melaporkan DOJ menandatangani perjanjian sulit dengan peguam keluarga Jho Low dan pemegang amanah kewangan mereka pada awal bulan ini.

Ia membabitkan penyerahan aset yang sebelum ini dikenal pasti oleh pihak berkuasa serta yang belum dituntut atau diambil agensi pendakwaan seluruh dunia di bawah pelan penyelesaian baharu.

Perjanjian sulit yang belum didedahkan kepada umum, berkait dengan pengumuman dibuat Rabu lalu oleh DOJ yang menyatakan pihaknya akan memperoleh tambahan AS$100 juta (RM471 juta) untuk menyelesaikan kes-kes perampasan harta awam.

Aset-aset berkenaan termasuk lukisan Andy Warhol dan Claude Monet, deposit kewangan dan hartanah di Singapura serta lokasi antarabangsa lain. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *