Tiga sahabat janji buat yang terbaik untuk sekolah dan negeri

Tiga sahabat janji buat yang terbaik untuk sekolah dan negeri

Oleh Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Walaupun berlainan sekolah, tiga pelajar ini tidak menjadikan ia sebagai halangan untuk mereka bersahabat.

Demikian yang dialami Wennorlie Mohd Noor, Muhammad Darwish Che Rohadi dan Nik Abdul Majid Nik Abdul Rahman Zaki, yang mana persahabatan mereka terjalin dalam pertandingan syarahan peringkat negeri.

Ketiga-tiga mereka ini, masing-masing merangkul johan dalam pertandingan Syarahan Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Seni Khat peringkat Kelantan baru-baru ini.

Wennorlie, 16, dari Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) memperoleh tempat pertama dalam pertandingan Syarahan Bahasa Arab Kategori A.

Beliau telah mengalahkan 11 peserta lain dengan mengumpul markah sebanyak 98 peratus, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai juara bertahan untuk kali kedua.

Muhammad Darwish, 17, dari Maahad Muhammadi Pasir Mas (MMPM) berjaya menewaskan peserta lain dalam pertandingan Syarahan Bahasa Melayu dengan pungutan jumlah markah sebanyak 90 peratus.

Pertandingan itu diadakan di Maahad Pengajian Islam, Kota Bharu, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai johan, juga untuk kali kedua tahun ini.

Nik Abdul Majid,16, dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong (MTAQPC) pula dinobatkan johan dalam acara Seni Khat yang berlangsung di Maahad Saniah Pasir Puteh (MSPP).

Bezanya, beliau berjaya mempertahankan kejuaraannya selama tiga tahun berturut-turut.

Ketiga sahabat ini akan mewakili Kelantan untuk menentukan nasib di Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) ke peringkat kebangsaan di Johor pada September ini.

Pertandingan itu anjuran Majlis Sukan dan Kegiatan Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK).

MASSAK juga turut menganjurkan pertandingan Tilawah al-Quran, Hafazan, Kuiz Dini, Syarahan Bahasa Inggeris, Nasyid, Kitab Turath dan Khutbah.

Menurut guru bimbingan syarahan Bahasa Arab MMRP, Fakruruzi Shafie, mereka bertiga bersahabat ketika sama-sama mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan tahun lalu yang diadakan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Cheras, Kuala Lumpur.

“Tahun ini adalah tahun ketiga Nik Abdul Majid mewakili Kelantan di MIISMAM, manakala Wennorlie dan Muhammad Darwish adalah tahun kedua mewakili negeri.

“Tahun lalu Nik Abdul Majid mendapat tempat kedua iaitu naib johan di peringkat kebangsaan, manakala Wennorlie dan Darwish hanya berpuas hati dengan sagu hati.

“Insya-Allah tahun ini, di peringkat kebangsaan di Johor, kita harapkan mereka bertiga berjaya memperoleh kejuaraan,” katanya ketika ditemui NasionalDaily. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *