BERITA UTAMA
Saham MAHB: Anwar perjelas kenapa pilih GIP

‘Rasionalisasi subsidi petrol RON95 tak dilaksana dalam masa terdekat’ – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengesahkan belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangkaannya, penyasaran semula subsidi bagi tujuan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. 

“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel. 

“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. 

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

Anwar bagaimanapun berkata, pada hematnya, penyasaran semula subsidi petrol RON95 wajar dilaksanakan sejak dulu lagi, namun beliau sedar terdapat pelbagai kekangan yang menyukarkan pelaksanaan semula subsidi bagi bahan api itu. 

“Kalau tanya saya, (penyasaran semula) subsidi RON95 patut sudah dilaksanakan lama dulu. Tetapi ini tak mudah, masalah kita hadapi adalah 3.8 juta orang asing guna minyak ini, begitu juga orang kaya, ini yang mesti dan amat penting untuk kita hentikan. 

“Bagi isu ini (penggunaan babitkan orang asing dan orang kaya), saya tak tolak ansur kerana mereka sudah gunakan subsidi sejak berpuluh tahun lalu. Justeru (sekarang ini) bagaimana kaedah (terbaik bagi pelaksanaannya) kita perlu fikir supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan pembangkang yang terus ‘memanipulasi’ isu penyasaran semula subsidi diesel, kononnya ia membebankan rakyat. 

“Sehingga kini, masih ada yang ‘menunggang’ isu itu dengan pelbagai tuduhan kerajaan zalim dan mendakwa subsidi ditarik sepenuhnya. 

“Apakah penyasaran semula subsidi ini keputusan bijak untuk ekonomi? Semua (Ahli Parlimen) setuju walaupun dalam kempen menyatakan tidak bersetuju. 

“Ketika (kerajaan terdahulu) berkuasa pun mereka kata (penyasaran subsidi diesel) perlu, tetapi kerana tahu kesannya suhu politik yang akan dihangatkan (maka ia tidak dilaksanakan). 

“Cuma, saya sedar daripada aspek pelaksanaannya boleh dipertikai. Ini saya terima, tetapi yang kita dengar sekarang hanyalah (dakwaan) kerajaan zalim, buang subsidi dan ulangi kempen (dulu), hari ini perintah, esok minyak turun, ” katanya. 

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang dimulakan pada 10 Jun lalu, sehingga ia didapati stabil, sekali gus mencapai objektif ditetapkan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *