BERITA UTAMA
SPF, PDRM tumpas sindiket perjudian, 41 individu ditahan

SPF, PDRM tumpas sindiket perjudian, 41 individu ditahan

KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian dalam talian tumpas susulan penahanan 41 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Singapura dan Malaysia, sejak Ahad sehingga semalam.

Operasi kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya merampas dan menyita pelbagai hartanah serta barangan mewah dengan nilai keseluruhan lebih 11 juta dolar Singapura (kira-kira RM38.5 juta).

Menurut SPF, serbuan dijalankan secara serentak di beberapa lokasi di sekitar negara berkenaan yang membawa kepada penahanan 37 individu, termasuk dua wanita.

SPF berkata, pada masa sama, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM melakukan serbuan di Malaysia yang membawa kepada penahanan empat lelaki warga Singapura, lapor Harian Metro.

“Semasa operasi itu, SPF mengeluarkan perintah larangan pelupusan untuk tujuh hartanah dengan anggaran nilai lebih daripada 10.7 juta dolar Singapura (kira-kira RM37 juta).

“SPF juga merampas wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan lebih 40 akaun bank dengan jumlah anggaran rampasan hamper empat juta dolar Singapura (kira-kira RM13.8 juta) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi mereka.

Selain itu, SPF berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan disyaki digunakan bagi kegiatan jenayah terbabit seperti komputer, telefon bimbit serta beberapa barangan berkaitan perjudian.

Katanya, lapan lelaki dan seorang wanita akan didakwa di Mahkamah Singapura hari ini, atas kesalahan mengikut Akta Kawalan Perjudian 2022.

SPF memaklumkan, siasatan terhadap individu lain sedang dijalankan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *