BERITA UTAMA
Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan wajar dinaik taraf bahasa berekonomi – Tok Him

Pengumuman semua pelajar cemerlang SPM diterima masuk tanpa mengira kaum, retorik politik – Tok Him

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kesamarataan kepada pelajar cemerlamg memasuki Kolej Matrikulasi tanpa mengira kaum satu lagi tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mencabuli hak keistimewaan Melayu dalam bidang pendidikan.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, program matrikulasi diwujudkan pada tahun 1998 adalah persediaan untuk pelajar bumiputera bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran untuk ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas bagi institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“Program yang diwujudkan khusus untuk bumiputera yang melayakkan mereka mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama dalam bidang ikhtisas, jelas jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

“Program ini diwujudkan bukan tindakan diskriminasi, tetapi sebagai langkah untuk merapatkan jurang antara kaum.

“Namun, pengumuman yang bersifat retorik politik, tidak mengkaji “kebolehtampung” tempat di matrikulasi yang sudah melimpah mampu menampung tempat sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Ahad lalu, Anwar dilaporkan berkata, keputusan kerajaan memberi jaminan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki Matrikulasi tanpa mengira kaum dan wilayah adalah langkah perlu dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara, sekali gus mengiktiraf pencapaian cemerlang anak-anak Malaysia.

Menurut Dr. Ibrahim, keputusan cemerlang SPM 2023 seluruh negara ialah 3.1 peratus melibatkan seramai 11,713 orang dengan dianggarkan kaum Cina 30 peratus daripada jumlah itu mendapat cemerlang iaitu 3,514 individu.

Jelas beliau, ketika ini komposisi pelajar di Kolej Matrikulasi 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.

“Adakah untuk menambahkah bilangan pelajar cemerlang bukan bumiputera dengan tempat yang terhad akan mengorbankan pelajar bumiputera untuk memberi laluan kepada mereka?

“Jaminan dibuat quota bumiputera tidak akan terjejas. Ya, sekarang boleh cakap, tapi siapa dapat jamin quota bumiputera tidak terjejas? Tengok apa jadi pada biasiswa JPA yang sudah jadi hampir 50-50 antara bumiputera dan bukan bumiputera.

“Sedangkan biasiswa adalah hak dan milik kaum bumiputera. Sudah lama berlaku di mana ada pelajar bumiputera yang layak dinafikan mendapat biasiswa terutama dari golongan keluarga miskin,” ujarnya.

Beliau berkata, kakikatnya pelajar bukan bumiputera mendapat keputusan cemerlang lebih ramai daripada yang mampu ditampung oleh Kolej Matrikulasi dan mampukah menampung tambahan kemasukan mereka tanpa mengorbankan kouta bumiputera sedia ada?

“Cakap mudah macam hari ini menang esok hutang PPTPN hapus. Seharusnya sebelum pengumuman dibuat sudah siap persediaan dan mekanisma tindakan untuk dilaksanakan.

“Pengumuman yang bersifat ceria politik untuk memenuhi kehendak di sebalik jendela demi mengukuhkan kejelekan gabungan yang terpaksa tunduk untuk mengungguli kuasa dan tanpa menghiraukan sensitiviti rakyat majoriti yang semakin melebar jurang keadilan sosial.

“Dasar afirmatif untuk bumiputera dirobek oleh mereka yang meracuni naratif kononnya diskriminasi,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim lagi, semakin jelas beberapa tindakan kerajaan hari ini tidak menyenangkan sebahagian besar rakyat majoriti.

Ujar beliau, fahaman liberalism dan sekularisma menyusup secara halus untuk dinormalisasikan atas dasar kesamarataan bukan keadilan.

“Rakyat majoriti rasa kepanasan bahang politik yang bukan membawa ke arah perpaduan kaum, sebaliknya terkait dengan kehendak satu kaum yang menyebabkan kaum majoriti makin gelisah.

“Sama-sama kita menanti ribut mendatang terhadap kaum bumiputera. Hak mereka kena berkongsi sama rata, tapi hak mereka dan kepentingan mereka tidak pula mahu berkongsi sama rata dengan bumiputera termasuk tidak mahu sama-sama mendaulat dasar-dasar nasional seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan demi perpaduan rakyat.

“Saya sekali-kali menegaskan tidak setuju hak asasi bumiputera terus hanyut kepada orang lain dan untuk mempertahan hak bumiputera secara berterusan, maka generasi muda hendaklah dibina dengan kekuatan ilmu, minda dan fisikal,” katanya.

Katanya lagi, apa yang sedang berlaku sekarang adalah natijah generasi muda zaman lampau yang tidak diasuh dengan betul.

Bagi mereka, jelasnya, angkatan penuntut kemerdekaan tidak perlu diungkit.

“Tapi renungi apa jadi dengan program Penerapan Nilai Murni sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Anwar jadi menteri, dari kuliah Subuh.

“Tazkirah Zohor hingga qiamulail termasuk juga Program Bina Insan yang menelan belanja berjuta ringgit. Satu generasi telah berlalu dan ramai peserta telah pencen. Kenapa pancaroba dan gejala rasuah penyelewengan lebih teruk dari sebelum program penerapan nilai murni diadakan.

“Jawapan saya mudah. Pelaksanaan program itu kebanyakannya tidak ikhlas dan diulit oleh politik menang sorak kampung tergadai,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *