BERITA UTAMA
Polis siasat hantaran Facebook kaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah

Polis siasat hantaran Facebook kaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Kelab Penyokong Pas Malaysia yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, hantaran itu menyebut Tunku Mahkota Ismail mengatakan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin meminta rasuah berjumlah RM20 juta daripada Qatar Holdings, pada 28 Jan tahun lepas.

Beliau berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi kira-kira pukul 4.05 petang, semalam.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membuat hantaran, menularkan atau pun berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah dan palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau melihat isu itu sebagai satu cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi diraja dan kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Hantaran bertajuk ‘TMJ dah bersuara, takkan PMX masih senyap? boleh diakses di pautan URL (https://www.facebook.com/share/p/ng2tb1hMJqScCj41/?mibextid=K35Xf) – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *