Bab 4 Pendahuluan
PADUKA Raja Cik Siti Wan Kembang II, berketurunan daripada Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah), abang Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, Raja Perempuan pertama Kelantan.
Hubungan darah ini menjadikan ceritera wanita sebagai pemimpin dan wanita yang sentiasa dirundung malang, walaupun masa berganti masa dan zaman berganti zaman. Inilah ceritera kesedihan wanita yang sentiasa dirundung malang.
Air mata mereka sentiasa tumpah ke bumi bagi menegakkan kehidupan yang bermaruah mengikut pilihannya sendiri. Ketangkasan Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I berperang dengan musuh mungkin tidak diwarisi sepenuhnya oleh keturunannya, namun kecekalannya menempuh pelbagai dugaan hidup sebagai manusia biasa menjadi paksi kekuatan mereka di dunia ini.
Salasilah Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II
Sebelum Raja Sang Tawal mangkat pada tahun 1335, baginda telah menyerahkan takhta Empayar Langkasuka kepada anaknya, Raja Bharubhasa. Di bawah pemerintahan Raja Bharubhasa, Empayar Cermin yang berpusat di Langkasuka-Pattani telah bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam dan semakin ramai penduduknya yang memeluk agama Islam.
Pada tahun 1382, dikatakan Empayar Cermin Jiddah telah ditubuhkan bagi menggantikan Empayar Cermin-Majapahit Barat. Empayar Cermin yang pada mulanya terletak di Pattani, sangat singkat usianya. Kerajaan ini telah dapat dikalahkan oleh Siam Sukhotai pada tahun 1345. Raja Bharubhasa terpaksa memindahkan pusat pemerintahannya dari Pattani ke Kelantan.
Raja Bharubhasa telah menggabungkan beberapa negeri seperti Campa, Kemboja dan Samudera-Pasai di bawah takluknya dan mengisytiharkan nama baharu, iaitu Empayar Cermin.
Pada masa inilah Langkasuka telah bangkit semula menjadi satu kuasa besar. Raja Bharubhasa telah berjaya membantu rakyat Kedah menggulingkan Raja Kedah iaitu Maha Prita Daria yang terkenal dengan sebutan Raja Bersiong. Baginda menggabungkan negeri Kedah dan Gangga Negara (Perak) ke dalam empayarnya. Bagaimanapun, empayar itu telah tewas di tangan Siam.
Raja Bharubhasa telah bergerak ke Kelantan dan telah bersemayam di satu kawasan di sebelah barat daya Bukit Panau dan ibu kotanya dinamakan Kota Jiddah. Raja Bharubhasa juga mengambil alih pemerintahan kerajaan Seri Indah Sekebun Bunga daripada Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I.
Baginda menjadi pemerintah kedua kerajaan tersebut. Perebutan kuasa ini menyebabkan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I membawa diri bertapa di Gunung Ayam, tetapi selepas itu tidak dapat dikesan lagi. Sejak itu cerita Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I tidak lagi kedengaran. Cik Siti juga tidak mempunyai seorang waris pun untuk mempertahankan haknya itu. Kerajaan itu kemudian disambung oleh keturunan Raja Bharubhasa.
Sultan Baqi Syah (1362-1418) kemudiannya menerajui Empayar Cermin-Jiddah menggantikan ayahandanya Raja Bharubhasa yang mangkat pada tahun 1362. Empayar Cermin-Jiddah turut mengalami kemerosotan pada zaman pemerintahan Sultan Baqi Syah apabila terpaksa berhadapan dengan serangan Raja Siam Ayudhia sejak tahun 1395 hingga tahun 1401. Pada tahun 1399, Kota Jiddah, ibu kota empayar ini telah tenggelam ke dalam bumi bersama-sama penduduk, istana raja dan candi-candi lama, akibat banjir besar melanda kawasan tersebut.
Sultan Baqi Syah bersama rakyatnya yang selamat kemudiannya membangunkan sebuah kota yang baharu berdekatan dengan tempat asal dan diberi nama Kota Singa. Namun, Siam yang sentiasa ghairah untuk menakluk dan menguasai negeri-negeri Melayu akhirnya berjaya menawan Kota Singa pada tahun 1400.
Empayar Cermin-Kota Singa akhirnya lenyap dan negeri-negeri di utara Tanah Melayu, termasuk Kelantan terpaksa tunduk kepada Siam dengan membayar ufti. Sultan Baqi Syah dan keluarga telah berundur ke Campa dan mendapat perlindungan Raja Campa yang juga ipar baginda.
Pada tahun 1415, serangan Siam terhadap Kelantan telah meruntuhkan Kelantan secara keseluruhannya seiring dengan keruntuhan Pattani dan memaksa kedua-dua kerajaan ini tunduk kepada kekuasaan Siam. Detik-detik hitam terus berlaku kerana sering diserang dan berperang dengan Siam.
Sultan Baqi Syah kemudiannya diganti pula oleh abangnya Sultan Siddiq Muhammad (1418-1429). Selepas baginda mangkat, adiknya, Sultan Iskandar Syah (1429-1465) telah mengambil alih tampuk pemerintahan. Sultan Iskandar Syah telah membangunkan kembali Empayar Cermin-Jiddah yang telah runtuh dengan menggabungkan kembali wilayah-wilayah yang berpecah dalam satu kerajaan yang dipanggil Empayar Majapahit II (1432-1502), yang berpusat di Kota Mahligai.
Semasa menghadapi serangan Siam Ayudhia, Sultan Iskandar Syah telah berundur ke Terengganu, manakala Sayid Nurul Alam dan anak-anaknya yang masih kecil memilih Campa sebagai tempat perlindungan.
Sayid Nurul Alam kemudian kembali semula ke Majapahit II dan kemudiannya membawa keluarganya berpindah ke Pattani dan menjadi Sultan di sana dengan gelaran Sultan Qunbul. Baginda mangkat di Pattani dan dimakamkan di Kampung Garak Ruwain, Bijai Lama, Pattani.
Pentadbiran Majapahit II kemudiannya diambil alih oleh Sultan Mansur Syah (Sultan Menawar Syah) iaitu putera Sultan Iskandar Syah. Sultan Mansur Syah telah menggabungkan pemerintahannya dengan Pattani. Maka lenyaplah nama kerajaan Majapahit II di Kelantan.
Bagaimanapun, kekalahan Pattani pada tahun 1492 kepada Siam Ayudhia telah memaksa baginda membayar ufti selama lapan tahun dan bernaung di bawah kuasa Siam Ayudhia.
Kesultanan Kelantan
Sejarah telah mencatatkan pemerintahan di Kelantan di peringkat awal berpusat di Ulu Kelantan, iaitu di Nenggiri. Di sinilah dikatakan Kesultanan Kelantan telah bermula. Pemerintahan Kesultanan Kelantan yang pertama ialah Sultan Iskandar Syah (1429-1465). Baginda juga ialah pemerintah Seri Indah Sekebun Bunga yang kelima.
Kemudian, pemerintahan itu diganti pula oleh Sultan Mansur Syah (1465-1526). Pada masa pemerintahan Sultan Mansur Syah ini, Kesultanan Melayu Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah telah menyerang Pattani-Kelantan dan berjaya meletakkan Kelantan di bawah penguasaannya.
Sultan Mansur Syah telah berundur ke Pattani bersama anaknya Raja Gombak. Bagaimanapun, baginda kemudian telah kembali tunduk di bawah naungan Melaka. Tiga puterinya iaitu Puteri Onang Kening, Puteri Cupan (Cupai) dan Puteri Cobak (Caubak) telah ditawan oleh Sultan Mahmud Syah.
Baginda telah berkahwin dengan Puteri Onang Kening. Puteri itu telah melahirkan Raja Muzaffar yang akhirnya ditabalkan sebagai Sultan Perak dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1531.
Apabila Sultan Mansur Syah (Kelantan) mangkat pada tahun 1526 (928H), maka putera baginda, Raja Gombak (Raja Gembuk) telah ditabalkan menjadi sultan dengan gelaran Sultan Gombak iaitu pemerintah ketujuh dinasti ini. Setelah baginda mangkat, cucu saudaranya iaitu anak kepada Raja Dewi yang telah dijadikan putera angkat baginda iaitu Raja Ahmad (1580-1589) – pemerintah kelapan Seri Indah Sekebun Bunga – telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan keempat.
Ini kerana Sultan Gombak tidak mempunyai anak. Sultan Ahmad kemudian telah berkahwin dengan Ini kerana Sultan Gombak tidak mempunyai anak. Sultan Ahmad kemudian telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Nara Diraja. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Wan Kembang. – NasionalDaily
BERSAMBUNG
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252