BERITA UTAMA
AS akan kembalikan aset AS$100 juta yang dikaitkan dengan 1MDB kepada Malaysia

AS akan kembalikan aset AS$100 juta dikaitkan 1MDB kepada Malaysia

NEW YORK – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mencapai persetujuan dengan ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low untuk memulangkan lebih AS$100 juta (RM471 juta) yang didakwa digelapkan daripada dana kekayaan milik Malaysia sebagai sebahagian daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

AS berkata, karya seni oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet dan sebuah apartmen mewah di Paris akan dicairkan dan aset bernilai AS$67 juta (RM315.7 juta) akan dikembalikan kepada Malaysia.

Pendakwa raya mendakwa aset itu dikaitkan dengan wang tunai yang diperoleh untuk dana 1MDB sejak 2012 dan 2013.

Jho Low yang dikehendaki masih bebas dan tidak diketahui keberadaannya.

Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS, kata Jabatan Kehakiman.

Secara keseluruhan, lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) didakwa dicuri dari dana 1MDB.

AS berkata, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan Jho Low, keluarga dan entiti yang ditubuhkannya, ia akan menyelaraskan dengan negara asing untuk memindahkan aset yang dipegang di luar negara ke Malaysia.

Jabatan Kehakiman berkata: “Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta).

“Selain itu, pihak-pihak itu juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia hartanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura.”

Jho Low, nama sebenarnya Low Taek Jho didakwa dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB, yang menyaksikan berbilion-bilion dolar daripada dana negara digelapkan.

Pendakwa raya AS dan Malaysia mendakwa, wang itu diletakkan di dalam poket beberapa individu berkuasa dan digunakan untuk membeli aset termasuk hartanah mewah, jet peribadi dan karya seni yang mahal. – BBC

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *