BERITA UTAMA
Kelantan tegas tidak keluar lesen premis judi sejak 1990

Kelantan tegas tidak keluar lesen premis judi sejak 1990

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan sentiasa serius menangani aktiviti perjudian apabila bertindak tegas tidak mengeluarkan lesen premis perjudian sejak 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya mempunyai kuasa untuk memeriksa lesen premis perniagaan.

Menurutnya, aktiviti perjudian di negeri ini beroperasi secara haram tanpa premis di sebalik perniagaan menjual telefon dan kad tambah nilai.

“Kita memandang serius perkara ini, namun ia bukan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tangkapan hanya boleh dilakukan oleh polis di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Dalam masa sama, kita juga menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat aktiviti perjudian dalam talian daripada terus berleluasa.

“Pada 1990, kita terus batal lesen premis perjudian dan juga yang menjual minuman beralkohol, malah turut membatalkan lesen premis panggung wayang,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Negeri di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan ada memasukkan seksyen berkaitan kesalahan judi dalam kalangan orang Islam sama ada fizikal atau dalam talian, namun ia dibatalkan.

“Penggubalan enakmen ini menunjukkan dasar kerajaan negeri sebenarnya sangat tegas termasuk dalam membanteras kegiatan perjudian.

“Namun sejak seksyen berkenaan dibatalkan, penguat kuasa agama tidak mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan dan kehadiran mereka dalam operasi bersepadu hanya jika ada individu muslim yang terbabit dalam kegiatan perjudian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk menaik taraf Pasar Siti Khadijah dan Pasar Wakaf Che Yeh sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada KPKT di atas peruntukan itu dan kita menyeru kepada semua peniaga supaya dapat menjaga kebersihan serta keceriaan untuk menyambut pelancong yang datang ke Kelantan,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *