BERITA UTAMA
792 murid Orang Asli terima bantuan Persekolahan YBR

792 murid Orang Asli terima bantuan Persekolahan YBR

SIMPANG PULAI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2024.

Sejumlah RM25,000 disediakan kepada 792 murid dari keluarga masyarakat orang asli sekitar negeri ini.

Bantuan itu sebagai insentif tambahan kepada murid dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan sepanjang sesi pembelajaran.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, walaupun jumlah bantuan yang disalurkan itu tidak besar, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti baharu.

“Saya harap usaha ini memberi sinar kegembiraan kepada murid Orang Asli dalam menuntut ilmu serta tanda tulus ikhlas pihak kami menyantuni mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bantuan Persekolahan YBR di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Raya, Simpang Pulai, Ipoh.

Turut hadir, Presiden Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Senator Bob Manolan Mohamad; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak, Datuk TPr. Suki Mee; dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Sementara itu, Bob Manolan dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR membantu masyarakat Orang Asli khususnya sekitar Perak.

“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin untuk murid Orang Asli merasa seronok untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata sama seperti mereka yang lain.

“Bantuan YBR ini besar ertinya kepada murid di empat sekolah yang terlibat dan diharapkan insiatif ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Jun ini, seramai 19,240 murid serta 202 sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.74 juta melibatkan 53 lokasi. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *