SETELAH cadangan untuk membentuk satu pasukan khas diperkenankan oleh Sang Raja Tawal, maka Adruja pun berusaha membentuk sebuah pasukan khas yang dianggotai oleh kaum wanita. Baginda mula mencari mana-mana wanita yang mahu menyertainya. Tetapi, pencarian baginda tidak mendapat sambutan, lantas baginda mula menawarkan kepada balu-balu yang kematian suami di medan perang. Ada dalam kalangan mereka membantah atas alasan, berperang bukanlah kerja kaum wanita. Ini telah membuat Adruja murka, lalu menyatakan kepada mereka:
“Cis! Semua kamu nak serahkan kepada kaum lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu? Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan pengemis! Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang. Bahkan, lebih berani dari bapa-bapa dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhotai hingga kecut (tuuttt) mereka. Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi. Beta tak dapat berikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian mati, kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian. Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang. Insya-Allah, kalian akan dikenang sebagai bunga-bunga suci di medan perang di dalam sejarah Langkasuka.
Segala bekalan senjata untuk pasukan khasnya telah disiapkannya. Baginda telah menempah senjata ringan dengan mengarahkan agar dibentuk susur panah yang kecil supaya lebih mantap. Selain itu, Adruja juga telah membeli puluhan kuda, kain serta keperluan wanita daripada para saudagar Arab dan Turki di pelabuhan yang berhampiran dengan Kota Grahi. Daripada mereka ini jugalah Adruja mempelajari bahasa Arab dan Turki. Selain itu, Adruja juga telah membeli seekor kuda putih untuk dirinya sendiri. Kuda tersebut diberi nama Halilintar dan sentiasa mendahului sesiapa sahaja, termasuk jurulatihnya.
Pada satu ketika, pada tahun 1317, Adruja Wijayamala Singha masuk mengadap Raja Sang Tawal yang sedang sibuk bermesyuarat dengan panglima perang. Ketika itu, mereka sedang melihat selembar peta. Adruja terus membuka daun-daun tingkap istana lalu mengajak Raja Sang Tawal dan para panglima perang supaya melihat ke luar tingkap. Puteri itu berkata:
“Itulah pasukan khas patik. Hanya 41 orang. Kebanyakannya janda dan hamba abdi serta budak suruhan untuk berperang bersama ayahanda kelak.
Namun, ramai yang mempersoalkan kemampuan pasukan itu di medan perang. Para panglima bertanya kepada Adruja mengenai kemampuan mereka sama ada mereka mampu memikul tombak ataupun memanah? Malah, ada juga antara mereka yang memperlekeh kemampuan pasukan khas itu. Tindakan para panglima tersebut telah membuatkan kemarahan Adruja membara, lalu ditariknya seorang daripada kumpulan panglima tersebut dan membawanya ke ruang tingkap. Lalu Adruja menjerit kepada Puspa, orang kanannya untuk memanah panglima itu. Anak panah yang dilepaskan oleh Puspa berdesing membelah udara lalu melekat pada daun tingkap yang hanya sejengkal dari muka panglima itu. Tindakan berani Adruja menyebabkan semua orang terdiam. Adruja terus menyembah Raja Sang Tawal lalu turun dari istana untuk menyertai pasukannya dengan langkah seorang panglima perang.
Serangan Siam ke atas Kota Ghahi, Langkasuka
Sebenarnya, peperangan menentang Sukhotai telah terjadi selama beberapa dekad. Dalam Yuan Shih catatan sejarah China, menyatakan mengenai peperangan yang lama antara orang Sien (Siam) dan Mali-yu-el (Malayur). Ini telah menyebabkan Maharaja Tartar yang memerintah negara China menghantar sepucuk surat emas kepada Raja Sukhotai pada tahun 1295 dengan mengatakan:
“Oleh sebab orang Sien (Siam) dan orang Ma-li-yu-erh (Melayu) sudah lama bunuh membunuh satu sama lain dan kini di bawah ketundukan (di bawah kekuasaan China), maka suatu perintah diraja dikeluarkan menyuruh orang Sien: jangan merosakkan lagi orang Ma-li-yu-erh dan hendaklah kamu pegang janji kamu.
Pengasas kerajaan Sukhotai ialah Prak Kuang, yang menubuhkan kerajaannya pada kurun ke-12. Angkatan tentera Siam Sukhotai telah mula bergerak ke arah selatan untuk menyerang kerajaan Grahi. Pada asalnya penduduk Kota Grahi sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi serangan tentera Siam Sukhotai. Namun, penantian yang terlalu lama menyebabkan mereka menjadi leka dan lalai. Ini berbeza dengan Adruja dan pasukan Seri Wijayamala yang sentiasa bersiap sedia. Sifat waspada pasukan di bawah pimpinan Adruja ini, telah berhasil apabila pada suatu malam, seorang pengawalnya telah ternampak panah berapi menembusi angkasa. Pengawal terus memaklumkan kepada Adruja mengenai beberapa kampung di sebelah utara yang mula diserang oleh tentera Siam Sukhotai.
Adruja dan semua anggota pasukan Seri Wijayamala bersiap sedia lalu menunggang kuda mereka dan menyerbu keluar mengikut rakan-rakan yang membawa obor. Setelah tiba, Adruja mendapati tentera Siam Sukhotai sedang mengganas. Tenteranya yang menunggang gajah mencantas sesiapa sahaja yang dijumpainya. Gajah mereka pula merodok dengan gadingnya sesiapa sahaja yang berada di depannya. Mereka membakar rumah-rumah, membunuh segala lelaki yang ada dan mengheret wanita-wanita keluar dari kampung itu. Adruja terlihat tindakan seorang panglima Siam Sukhotai yang sedang merebahkan seorang perempuan muda ke tanah untuk mencabulnya. Melihat keadaan tersebut, Adruja segera menebas leher panglima tersebut dengan kelewang miliknya yang dinamakan Kilatan. Adruja sememangnya bersikap berani dan tegas dalam memelihara kezaliman terhadap wanita.
Adruja bertempik menaikkan semangat anggota pasukannya. Dia menyuruh supaya membunuh tanpa belas kasihan tentera Sukhotai yang telah banyak memperkosa wanita; arahannya itu segera dipatuhi. Dengan berani dan tangkas, mereka menyerang dan membunuh tentera Sukhotai itu. Ada antara anggotanya yang muntah-muntah dan pengsan melihat darah menyembur di sana sini. Kepala musuh pula terpelanting bertaburan di sana sini. Terdengar dengan jelas jeritan mereka mengaduh kesakitan. Pada malam itu Adruja berjaya menyelamatkan ramai wanita daripada menjadi mangsa kezaliman tentera Sukhotai. Tiada seorang pun tentera Siam Sukhotai yang berjaya pulang ke markas mereka. Adruja dan para pengikut pula hanya mengalami luka-luka kecil. Mereka berjaya membuktikan kecekapan mereka di medan perang.
Piahk Siam Sukhotai telah mula berasa bimbang setelah angkatan perang mereka tidak pulang ke markas. Namun, begitu tidak sedikit pun terguris rasa kasihan dan sedih di hati Rama Khamhaeng, walaupun telah kehilangan ratusan tenteranya. Sebaliknya, raja zalim itu telah mengambil keputusan untuj nenyerang Kota Grahi sekali lagi. Kali ini, dia sendiri yang akan mengetuai bala tenteranya.
Sementara itu, do Kota Grahi pula, Raja Sang Tawal telah mendapat maklumat mengenai bala tentera Siam Sukhotai yang sudah menghampiri sempadan Kota Grahi. Baginda sedang mengarahkan semua menteri dan panglima perang (kecuali Wijayamala Singha) datang berunding. Selesai mesyuarat, Raja Sang Tawal telah menitahkan supaya Adruja tinggal di dalam Kota Grahi untuk mempertahankannya. Sementara baginda dan para tentera Kota Grahi akan keluar menentang musuh. Arahan ayahandanya itu telah membuatkan Adruja berasa begitu geram kerana tidak dibenarkan untuk turun serta berperang.
Adruja mula menyedari kejayaan perjuangannya tidak dilaporkan kepada Raja Sang Tawal. Para penglima sengaja menyembunyikan kepada Raja Sang Tawal. Adruja terus rasa gelisah. Menjelang tengah hari, Adruja telah mengarahkan Puspa supaya pergi meninjau keadaan di luar Kota Grahi. Alangkah terkejutnya Puspa apabila melihat tentera Siam Sukhotai telah berjaya mencerobohi kota. Mereka membunuh dan bertindak ganas terhadap orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita-wanita tanpa perikemanusiaan. Ternyata Rama Khamhaeng seorang yang licik. Raja tersebut telah membahagikan angkatan tenteranya kepada dua pasukan, iaitu satu untuk berperang dengan angkatan tentera Raja Sang Tawal di medan perang, manakala yang satu lagi menyerang Kota Grahi secara senyap dan mengejutkan.
Puspa segera memaklumkan kepada tuan puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota pasukan Seri Wijayamala bertindak. Dalam kesibukan mempersiapkan kumpulan perangnya, Adruja dihampiri seorang lelaki tua yang tidak dikenalinya, lalu memberinya seutas tasbih agar anggota pasukan Seri Wijayamala beroleh kemenangan menentang tentera Siam. Lelaki tua bertongkat itu mengucup tangan Adruja lalu pergi dari situ. Belum sempat Adruja mengucapkan terima kasih, para anggota Seri Wijayamala sudah mengerumuni dan bersiap sedia. Kelibat lelaki itu telah tidak kelihatan. Adruja terus memberikan arahan kepada pasukan Seri Wijayamala:
“Wahai pasukanku, Seri Wijayamala… lilitlah rambut mu dengan kain hijau seperti serban yang dipakai ayahmu, suamimu atau saudaramu yang pergi berjuang demi agama dan tanah air. Aku tahu, tentera ayahanda sedang terpukul teruk. Aku juga tahu, hari ini Rama Khamhaeng turut memimpin tenteranya. Hari ini hari penentuan! Puspa, lilitkan serban kuning ini ke kepalaku.
Tiba-tiba, kedengaran laungan azan berkumandang di atas kota. Suara seorang tua, dipercayai lelaki tua bertongkat yang memberikan tasbih kepada Adruja sebentar tadi. Adruja segera memakai tasbih tersebut di lehernya dan terus menunggang kuda putihnya yang bernama Halilintar. Semua wirawati Seri Wijayamala terus memecut kuda dan menderu keluar dari kota bagaikan taufan. Tanpa menoleh ke belakang lagi, pasukan khas itu terus memacu kuda di belakang ketua mereka, Adruja Wijayamala Singha.
Angkatan perang Rama Khamhaeng ditewaskan
Kejatuhan kerajaan Kota Grahi, Jawaka telah memaksa Raja Sang Tawal berundur ke arah selatan. Pengunduran secara besar-besaran itu turut disertai oleh seluruh kerabat diraja Grahi, para menteri, panglima perang, rakyat jelata dan juga pasukan khas Seri Wijayamala. Dari Kota Grahi, Raja Sang Tawal dan pengikutnya telah berundur ke Phattalong. Setelah tiba di Phattalong, mereka menuju pula ke Sanjura, Singgora, Pattani. Ketika di Sanjura, Singgora inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota sebagai ibu negeri yang baharu di sebelah barat bandar Pattani sekarang untuk dijadikan pusat pemerintahan baharu. Setelah siap, kota tersebut diberikan nama Kota Mahligai.
Langkasuka sebenarnya lebih terkenal kepada pedagang-pedagang luar dan ahli sejarah dunia dan bukannya Kota Grahi, Jawaka. Peperangan yang dihadapi oleh Adruja Wijayamala Singha telah berlaku di Kota Grahi, Jawaka. Oleh itu Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wang Kembang I disebut sebagai wirawati Langkasuka. Ada pendapat mengatakan Tawalisi yang disebut oleh Ibn Battutah ialah Langkasuka. Pertempuran dengan pihak Siam berterusan hingga akhirnya empayar Langkasuka juga lemah dan diganti dengan Empayar Cermin, yang juga tetap diserang oleh Siam. Orang Melayu berundur ke selatan lagi sehingga dapat bertahan di kawasan di Pattani. Malah, Pattani juga terus diserang oleh pihak Siam sehingga Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wang Kembang I dan abangnya membina kerajaan di selatan Pattani dan Kelantan. Serangan Siam juga berterusan menguasai Pattani dan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain di kawasan selatan dan pantai. Akhirnya Kelantan menjadi tempat terakhir penguasaan orang Melayu yang dipimpin oleh keluarga Raja Sang Tawal. – NasionalDaily
BERSAMBUNG