BERITA UTAMA

506 taska dikesan JKM tidak berdaftar di seluruh negara – Nancy

KUALA LUMPUR – Sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berdaftar dikesan dan berada di bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mei 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua taska tersebut diberi notis peringatan dan tindakan penguatkuasaan seperti lak (tutup), kompaun dan pendakwaan akan diambil.

Menurutnya, semua tindakan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Akta 308, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan buah taska telah dikenakan tindakan lak, 17 telah di kompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024.

“Sementara itu, ada juga sesetengah taska yang sebenarnya menepati standard minimum pengoperasian taska seperti yang ditetapkan oleh JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

“Antaranya adalah kesukaran menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN – Bagan Serai) yang meminta statistik taska tidak berdaftar di seluruh negara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, bagi taska yang berdepan dengan situasi sebegitu, kementerian mengambil pendekatan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudah cara proses memenuhi syarat ditetapkan.

Perkara itu dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah.

Jelasnya, hasil usaha tersebut, sebanyak 189 taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran antara September 2023 hingga 31 Mei 2024. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *