BERITA UTAMA
Seorang nelayan masih hilang dalam i

Insiden bot terbalik di Pulau Indah, seorang lagi nelayan masih hilang

KLANG – Seorang nelayan selamat manakala seorang lagi masih hilang setelah bot yang mereka terbalik selepas dipukul ombak akibat cuaca buruk di perairan Pantai Acheh Pulau Indah di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata nelayan terbabit telah keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada pukul 8 pagi dengan tidak memakai jaket keselamatan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa Arnizam Ibrahim, 43, dilaporkan selamat kerana sempat berpaut pada bot sebelum diselamatkan oleh bot pilot pelabuhan (TEGUH 2) manakala seorang lagi mangsa yang juga sepupunya Mohd Fazil Paijan, 36, masih hilang.

“Sebaik menerima laporan kejadian, Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 5 petang semalam sebelum ditangguhkan pada 7.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.

“Maritim Selangor juga telah membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha Op Carilamat di sektor pencarian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata Op Carilamat disambung semula seawal pukul 7 pagi ini dengan pertambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut terlibat dalam misi tersebut adalah Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *