KUALA LUMPUR – Parti Putra kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh pihak yang membangkitkan isu syarikat BlackRock membeli saham MAHB sebagai golongan hendak menjadi pahlawan politik.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau mahu bertanya kepada Perdana Menteri, siapa hendak menjadi pahlwan politik?
“Apabila kita membangkit dan menyentuh isu BlackRock, sebuah syarikat Amerika yang pro-Israel, kita dituduh kononnya nak jadi pahlawan politik. Putra turut terkesan dengan kenyataan Anwar sebab Putra juga lantang menentang MAHB menjual saham kepada BlackRock.
“Bila tanya kepada saya, setahu saya pahlawan politik ialah Anwar. Sebab beliau seorang sahaja tokoh politik yang segala pengucapan dan tindakannya selama-lamanya dianggap betul.
“Pada dia, orang lain tak pernah betul, memanglah dia seorang pahlawan politik.. (contoh) hari ini menang esok minyak turun.. hari ini menang esok tol hapus, hari ini menang semua pinjaman pelajaran hapus… hari ini menang semua rasuah hapus.. kemudian lantik orang yang ada 47 kes rasuah, ada prima facie lagi, menjadi timbalan perdana menteri, jadi inilah pahlawan politik Malaysia sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu BlackRock dan kenyataan Anwar di pejabatnya, di sini, petang semalam.
Ibrahim mengingatkan Anwar, kenapa perlu mempersendakan tindakan orang lain, kalau setiap parti politik, pemimpin dan rakyat jelata mengamalkan sistem demokrasi.
Katanya, apabila melihat sesuatu isu itu ada keburukan, maka mereka pun bersuara mengecam seolah pihak dipimpinnya sahaja nak jadi juara politik, orang lain tidak boleh.
Beliau menjelaskan kenapa Putra dan yang lain-lain menentang keras pemberian 30 peratus saham MAHB kepada BlackRock yang dikatakan oleh Anwar syarikat itu sudah lama berada di Malaysia ini,
“Dahulu mana-mana syarikat pro-Israel termasuk BlackRock mungkin tidak menjadi isu. Tetapi, ia berbangkit selepas berlaku perang penghapusan etnik rakyat Palestin oleh rejim zionis Gaza.
“BlackRock adalah sebuah syarikat pembekal senjata kepada rejim zionis.
“Selama ini kita boikot Mc Donald dan KFC. Itu makanan, kita sepakat boikot. Ini syarikat yang bekal senjata untuk bunuh golongan wanita dan kanak-kanak. Sudah tentu kita tak setuju,” katanya.
Sehubungan itu, kata Ibrahim, Putra akan menghantar memorandum bagi menyatakan bantahan secara rasmi berhubung keputusan MAHB menjual saham mereka kepada BlackRock.
Ujar beliau, masa depan dan keselamatan negara boleh tergugat sekiranya kerajaan membenarkan penjualan saham MAHB kepada organisasi yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Penyerahan memorandum pada minggu hadapan itu akan diberikan kepada tiga pihak iaitu Perdana Menteri, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dan MAHB.
“Malu sedikit kepada budak-budak yang boikot kerana menentang keganasan Israel. Tengok kebangkitan pelajar-pelajar termasuk di Amerika Syarikat (AS) yang menentang genosid di Gaza.
“Saya simpulkan tentangan kita terhadap MAHB menjual saham kepada BlackRock ini bukan sekadar mereka membekal senjata kepada Israel yang membunuh wanita, kanak-kanak dan rakyat yang tidak berdosa secara zalim sudah melebihi 40,000 orang.
“Tetapi juga lebih penting jika kita izinkan BlackRock ini menguasai ataupun memasuki Malaysia, mereka akan bertapak dan ini boleh menggugat masa depan kemerdekaan negara kita,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252