Hafezin Khaderi – Berita Harian
Gerbang Satu
PINTU Saint Stephen, Ayrusalaim, pernah berlumur darah. Tahun 1099, waktu Raja Godfrey of Bouillon dan tentera Salib masuk ke Jerusalem, pedangnya membenam ke dada-dada manusia, memenggal kepala-kepala dan membanjiri kaki lima dengan laut darah…
Kata sejarah, 88 tahun selepas itu, Panglima Saladin masuk dengan pedang dan rahmah, membawa Islam ke dalam kota. Tiada satu jiwa dari 100,000 Nasrani dikorban, juga Balian of Ibelin. Muslim, Yahud dan Nasrani hidup damai selama 700 tahun. Pintu yang sama, dua kisah berbeza…
Gerbang Dua
Iya, kami pernah masuk ke pintu Ayrusalaim – atau Jerusalem. Malah pernah membuka kuncinya!
Ceritanya begini. Ia tepat lima tahun lalu, sebelum perang Gaza terbaru pada Oktober 2023. Aku adalah seorang wartawan muda yang lasak, mengembara ke Qatar menyertai pasukan Al-Jazeera – media di 150 negara dengan siaran ke 430 juta rumah. Rasaku, hanya dua orang warga Malaysia bertugas di situ, aku salah seorang di Meja Berita.
Satu waktu, ada tugasan khas menanti di Israel, setepatnya di Jurusalem. Ini bukan tugasan biasa-biasa. Untuk tugasan ke Jurusalem atau lokasi perang, petugas diperlukan menandatangani ‘akuan istimewa’, kerana ia berisiko tinggi. Akhir 2013, tiga wartawan Al Jazeera ditangkap polis Mesir dan pada 2008, dua wartawan terperangkap dalam konflik Israel-Gaza. Sejak 1996, ada 12 wartawan Al-Jazeera telah terkorban ketika bertugas!
Jadi, aku dan jurukamera Gamal Nosir menyahut tugasan dengan cemas. “Ammar, Imigresen tidak akan mengecop pasport, kamu akan diberi kertas sahaja!” terang Ketua Pengarang Jawad. Sebenarnya, selain membuat liputan khas, tugasan lain ialah membawa stok alatan untuk pejabat Al-Jazeera Jerusalem, termasuk kamera canggih dan dron.
“Ayrusalaim kota yang penuh pintu. Bukalah satu per satu. Ceritakan pengalaman kamu nanti..” celah Jawad, menepuk belakangku. Aku tidak pasti maksud bicara Jawad.
Gerbang Tiga
Gamal – lelaki asal Kaherah berusia 40-an – menjadi jurukamera dan penterjemah sekali gus terbang denganku ke Jordan. Dari Amman, kami mudik jalan darat selama satu jam atau 80 kilometer ke Jerusalem, laluan utama Jordan ke West Bank melalui Jambatan Raja Hussein.
Pintu Imigresen sebelah Israel menepati ramalan, banyak soal jawab yang berlaku. Dua jam kami disoal, kadang-kadang soalan-soalan yang sama, oleh soldadu yang berbeza. Beberapa cubaan provokasi dijawab tenang oleh aku dan Gamal, masak dengan perangai bangsa yang menginjak Fourth Geneva Convention dan pernah membunuh nabi dalam sejarah mereka.
Selepas ujian awal, kami terus ke pejabat dan Old City dengan pengangkutan dan penginapan yang telah diatur. Zon timur Jerusalem bertembok itu dipecahkan kepada beberapa bahagian – Muslim, Nasrani, Yahud dan Armenian Quarters termasuk Dataran Quds. Warga Yahud pernah diusir keluar usai Perang Enam Hari 1967 dari situ, tapi kini mereka kembali menjajah.
Setiap masa, kami memakai vest dengan tulisan PRESS terpampang, tetapi nampak gaya ia lebih menarik perhatian, berbanding kemudahan. Setiap beberapa minit, kami ditahan dan disoal. Dalam kepala, aku dan Gamal merancang beberapa sisi berita. Rempuhan soldadu terbaru di masjid Aqsa, serangan di hospital, kisah penjaga kunci gereja lama dan penentang zionism dari kumpulan Naturei Karta dan Haredi. Iya, tidak semua orang Yahud menyukai kekerasan, malah menentang dasar menjajah zionisme dan berpegang dengan ajaran Torah sebenar.
Beg ditinggal di kamar hotel yang daif, kami pantas keluar semula, tidak mahu membuang masa. Tembok sedia ada Old City ini dibangun sekitar 1533M dan 1540M tatkala Sultan Sulaiman Ottoman memerintah. Ia menepati namanya seperti setinggan batu bertingkat, benteng dan tembok tinggi, dengan manusia dan souk berselerak sana-sini. Bagi warga Palestin, ia sebenarnya penjara paling besar di dunia. Tanah di West Bank diambil sewenangnya, Muslim Quaters dijarah, dan masjid Aqsa bertalu menjadi mangsa. Balfour Declaration 1917 yang menyokong kewujudan negara Israel, rupanya melahirkan ‘raksasa ganas dan keji’.
“Jaga-jaga, kadang-kadang kamu akan diludah atau dimaki!” ujar Gamal, tersenyum sumbing. Aku yang leka menyaksi, tersedar bahawa tugasan itu bukan sesi melancong. Ia kembara menikmati hidup sukar bangsa Palestina, dan aku ada tanggungjawab besar melaporkannya kepada dunia.
Kami maju dari sebelah barat melalui Pintu Jaffa, satu dari tujuh gerbang yang ada. Sehingga 1887, semua pintu ditutup kala senja, dan dibuka saat mentari menyala. Kami menyusur rumah batu dan kolong, lalu muncul di Pintu Damascus – antara pintu dengan pelbagai nama. Ia menghubung dua lokasi antara Kristian dan Muslim Quaters. Puak Yahud menggelarnya Pintu Nablus, bangsa Arab menamakannya Bab-ul-Nasr (Pintu Jaya) atau Bab-ul-Amud (Pintu Tiang), sementara tentera Salib memanggilnya St. Stephens Gate. Itulah pintu yang paling banyak menyaksi pertumpahan darah…
Gerbang Empat
Aqsa, mendengar namanya saja hatiku bergetar. Aku melangkah ke kompleks dataran seluas 35 ekar dengan cemas. Kakiku berhenti tepat di hadapan Dome of Rock. Mataku membulat tanpa berkelip. Entah mengapa, semacam satu perasaan teruja dan sayu terdetik. Kubah emas itu simbol perjuangan bangsa yang lama, penuh ranjau dan berdarah. Medan pengabdian tiga agama, adalah juga medan penindasan yang tak kunjung reda.
Selalu disalah faham, Kubah Emas bukan masjid al-Quds Aqsa, yang merangkumi berapa masjid termasuk Masjid Qibli, Masjid Buraq, dan Masjid Marnawi – asalnya kandang kuda Romawi. Kakiku berat seberat perasaanku, betapa mulianya tanah ini. Di sinilah lokasi Nabi Junjungan naik ke langit, kiblat pertama muslim, juga tanah para nabi dan Imam As-Syafie (767M) lahir di sini. Solat di sini seperti pahala 500 solat, aku teringat pada hadis. Geligaku lantas kembali pada maksud Surah al- Isra’, “(tanah) yang telah Kami berkahi sekelilingnya..”
Aku menghela nafas. Dataran berbatu itu lapang, tempat manusia mencari damai sebentar, melupakan kekejaman di sekeliling. Aku berkelintar. Melihat-lihat. Pintu Emas bukanlah pintu sebenar, melainkan ia disimen dua kali oleh Saladin dan Sultan Sulaiman the Magnificent, menutup jalan masuk dari sebelah Timur.
Golongan Yahud percaya di situlah Al-Masih akan masuk, datang dari Gunung Zaitun di Banjaran Timur, tempat Kesultanan Judah. Ayat ‘Zaitun’ membuat geligaku teringat satu hadis lain yang bermaksud “.. terangilah masjid Aqsa dengan minyak zaitun..” dikiaskan iaitu memberi bantuan dari jauh.
Seketika Gamal menyeruku ke Masjid Marnawi – diguna untuk limpahan jemaah dari Masjid Qibli, di mana terletaknya Mihrab Maryam A.S dan tersimpan 4000 judul manuskrip. Kami menuruni ruang bawah tanah, yang disangga 88 tiang besar.
Mulutku melopong. Takjub, menyaksi dewan yang begitu besar dalam tanah, ‘Mungkin dibina jin,’ ujar Gamal.
Lama kami di situ. Menemuramah Imam dan menikmati halaqah. Aku tertanya, mengapa perlu ke Baitul Muqaddis? Mengapa Nabi Muhammad SAW tidak naik sahaja dari Mekah? Mengapa Palestin dilibatkan dalam perjalanan Isra’ Mi’raj??
Aku diam beriktikaf. Pasti ada sesuatu yang agung dengan tanah di sini, dan Allah mahu memberitahu sesuatu akan berlaku di sini akhir zaman, fikirku lama.
Gerbang Lima
Pintu Tembok Ratapan lokasi bertemu Naturei Karta – golongan Yahud tegar penentang negara Israel – yang bersedia ditemuramah, tapi mahu kekal dalam anonimositi. Kami setuju, asalkan ada berita. Jam 5 petang, kami semua berjanji berjumpa di situ.
Di hadapanku, dua wakil kumpulan berdiri tegap – jambang besar dengan topi hitam fedora. Wajah mereka akan digelapkan kelak, kata Gamal. Mereka golongan fundementalis yang tidak percaya dengan kekerasan dan penindasan. Aku mula menemuramah. “Kamu percaya kepada solusi dua negara?”
Lelaki pertama menggeleng. “Kami tidak percaya tanah ini hak Israel. Judaism diterima, tapi zionisme dan genosida tidak!”
Beberapa soalan menyusul. Pantas saja temuramah itu berakhir, tapi mencukupi. Aku terharu, sekurangnya ada juga baki bangsa Yahud yang waras. Di belakang kami, keadaan mula bingit dan sesak. Lelaki dan perempuan yang diasingkan kawasan, mula menyalakan lilin menjelang senja Sabtu untuk acara Sabbath.
Gerbang Enam
Pintu kayu itu tertutup rapat. Buatan kayu oak, nampak usang tapi berat tegap. Pintu itu kepunyaan gereja bersejarah Holy Sepulchre, terletak antara Kristian dan Armenian Quarters. Penganut agama itu percaya di situlah tempat Nabi Isa A.S disalib, menjadi destinasi penziarah setiap kali Hari Easter. Tapi kisahnya bukan pada pintu, tapi pada kunci…
Aku berdiri mengamati muka pintu. Tiada yang luar biasa. Gamal mundar-mandir dalam ruang depan gereja. Masing-masing menanti seseorang bernama Adeeb Joudeh, penjaga kunci kepada pintu itu tiba – sepatutnya 15 minit yang lalu. Adeeb muncul dan terus mulutnya berkata-kata. Dia berbicara seperti membaca skrip yang telah lama tersedia. “Keluarga kami telah menjaga kunci ini lebih dari 400 tahun…” jelasnya dalam bahasa Arab, diterjemah oleh jurukamera.
Aku mengangguk-angguk, lenguh mencatat, sementara geliga berkomentar. Kota majmuk ini punya nilai menghormati yang tinggi, semuanya diasuh oleh Islam. Kisah yang sama bila Islam menyinari Eropah di Granada, semua agama terbela, fikirku.
“Apabila Khalifah Umar mengambil kunci dari Patriarch Sophronius, keselamatan setiap agama terjamin, dan kunci ini adalah buktinya.”
Lelaki itu mengambil sesuatu di dalam beg sandang, dan menunjukkan sesuatu di tangannya. Sebentuk kunci lama yang berekabentuk pelik, berupa seakan anak panah dengan gelung di hujung, sementara hujung satu lagi ada dua gigi kunci sahaja pada kedua arah. “Usianya sudah 500 tahun lebih…” Lelaki itu mempamer batang besi itu dengan bangga.
“Pernah tak golongan Kristian mahu mengambil balik kunci ini?” tanya aku akhirnya.
Lelaki di hadapan kami tersenyum. “Tidak. Mereka menghargai amanah ini, seperti mana kami menghargai kepercayan mereka. Ia adalah dasar saling menghormati.”
Aku diminta menadah tangan, dan kunci itu diletakkan perlahan, berhati-hati. Aku merasa kunci itu ringan, tapi berat dengan sejarah dan tanggungjawab. Ia merupakan simbol kesatuan, tolak ansur dan kemegahan Islam serta persaudaraan dua agama sejak beribu tahun lalu.
“Israel juga menindas Kristian di sini, bagi mereka Kristian agama penyembah berhala..” tambah Adeeb. Kemudian, lelaki itu memandangku, tepat ke dalam anak mata. Wajahnya serius. “Adakah kamu mahu cuba memusingnya?
Aku angguk, girang dan bangga. Di dalam genggamku ada sejarah yang panjang, tapi sangat megah. Kunci itu masuk ke lubang kunci perlahan-lahan. Dalam kelam langit Gaza, anak mataku bercahaya!
Gerbang Tujuh
Celaka, kami dihalau!
Belum hari ke enam, menjelang Subuh sudah ada militer menyerbu hotel dan memberi notis supaya media segera meninggalkan Old City. Tiada alasan atau rayuan, hanya ditunjuk pintu keluar. Tiada rundingan dengan soldadu berwajah bengis dan berperangai haiwan itu. Inilah cara Yahud melayan manusia, tanpa perasaan dan peraturan, sumpahku.
Gamal bungkam menarik beg kamera dengan susah payah. Aku diam buntu, merasakan nasib kami hanyalah satu peratus daripada nasib buruk jika dibandingkan apa yang menimpa warga Palestin. Kami masih bernyawa, punya pejabat dan gaji. Anak-anak Gaza, Rafah dan Jabalya hanya menanti maut menjelma dalam segala bentuk.
Makanan mereka hanyalah penindasan dan genosida. Masa depan mereka hanyalah kemenangan atau syahid …
Kami diarah ke Lapangan Terbang Ben Gurion, sejauh sejam berkenderaan dari Kota Lama, diawasi oleh jip tentera. Aku melihat keluar jendela kenderaan. Habuk menerpa dalam cuaca kering bulan Julai. Aku seakan-akan melihat tujuh pintu ke dataran Al-Aqsa terbuka. Dalam kepala, aku baru mengerti mengapa ada banyak pintu ke situ. Sepertinya, orang Palestin dirahmati dan diberkahi. Seakan ada 99 pintu syurga yang bisa dipilih oleh mereka. Mereka boleh memilih mana-mana pintu untuk ke taman abadi. Pilihlah…
Sinar pagi langit Ayrusalaim menerpa ke anak mata. Merpati melayang-layang dan daun tua zaitun berterbangan. Anak-anak Palestin berlari di celah kolong dan denai.
Tiada sekolah atau bakeri dan taman permainan. Masing-masing menunggu saat ke syurga di pintu gerbang ternganga!
*ditulis pada hari ke-200 Perang Gaza terbaru dengan kematian 34,183 syahid
– Pengarang asal Perak ini bertugas di Tourism Malaysia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252