KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan berkait kes mahkamah dihadapinya ketika bersidang pada Februari dan Mac lalu.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, esok, sebagaimana disiarkan dalam laman sesawang Parlimen, usul berkenaan akan dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Usul terbabit berkait kenyataan pemimpin BERSATU itu pada 28 Februari serta 21 Mac lalu, antara lain bahawa pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan, lapor Berita Harian.
Dewan memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor di mana secara tersirat sudah mendakwa bahawa ada individu yang konon bertindak bagi kerajaan, boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
“Perbuatan ini menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyebut perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah, dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes berkenaan,” menurut usul itu.
Justeru, usul berkenaan menjelaskan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan membuat penentuan sama ada kenyataan dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam Dewan itu mengelirukan Dewan serta merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes terbabit.
“…dan mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu dan selepas itu, jawatankuasa ini hendaklah membuat syor dalam satu penyata untuk pertimbangan Dewan,” katanya.
Dewan Rakyat akan mula bersidang esok hingga 18 Julai depan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252