Marzuki seru Melayu perkukuh perpaduan, wariskan masa depan lebih kukuh

KUALA LUMPUR – Masyarakat Melayu diseru mengetepikan perbezaan politik dan pandangan demi memperkukuh perpaduan serta persaudaraan bagi memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Dato’ Wira Marzuki Yahya berkata, Hari Kemerdekaan ke-69 bukan sekadar tarikh untuk diraikan, sebaliknya perlu dijadikan ruang untuk mengenang pengorbanan generasi terdahulu dan memperbaharui tekad membina negara yang lebih kukuh.

Menurutnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup mencurahkan tenaga dan fikiran demi membina sebuah negara berdaulat.

“Menjadi tanggungjawab kita memastikan pengorbanan mereka tidak sia-sia,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-69, yang disambut 31 Ogos.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Marzuki berkata, masyarakat Melayu perlu kembali mengutamakan perkara yang menyatukan mereka berbanding terus memberi tumpuan kepada perbezaan yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, walaupun masyarakat Melayu mempunyai perbezaan dari segi pandangan politik, latar belakang dan pendekatan, mereka tetap berkongsi sejarah, bahasa, budaya serta akar kehidupan yang saling berkait.

“Sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan melemahkan, manakala kesatuan menguatkan.

“Kita mungkin berbeza pandangan politik, latar belakang dan pendekatan, namun kita mempunyai sejarah, bahasa, budaya dan akar kehidupan yang saling berkait,” katanya.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh penyatuan Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan memusuhi atau menafikan hak masyarakat lain.

Sebaliknya, kata beliau, masyarakat Melayu perlu diperkasakan dari segi pendidikan, ekonomi, ilmu, budaya, akhlak dan jati diri supaya mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada pembangunan negara.

“Kita mahu Melayu yang kuat tanpa angkuh, berprinsip tanpa membenci dan mempertahankan hak tanpa menafikan hak masyarakat lain.

“Dalam masa sama, marilah kita mempertahankan keharmonian Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama,” katanya.

Marzuki turut menekankan kepentingan memastikan generasi muda mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta peluang ekonomi yang lebih luas agar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

Katanya, cabaran yang dihadapi masyarakat hari ini semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada isu kemiskinan serta jurang pendidikan seperti generasi terdahulu.

Sebaliknya, masyarakat kini berdepan persaingan ekonomi yang semakin sengit, perubahan teknologi yang pantas serta cabaran berkaitan kehilangan jati diri.

“Cabaran kita berubah, daripada kemiskinan dan jurang pendidikan kepada persaingan ekonomi, perubahan teknologi serta ancaman kehilangan jati diri.

“Maka, kita memerlukan semangat yang sama seperti generasi terdahulu: bersatu, bekerja keras dan mendahulukan kepentingan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, generasi terdahulu mungkin tidak mempunyai kemudahan dan teknologi seperti yang dinikmati masyarakat hari ini, namun mereka memiliki semangat kebersamaan dan kesanggupan berkorban yang perlu dicontohi.

Mengulas mengenai hala tuju masyarakat selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan, Marzuki mengajak semua pihak merenung bentuk legasi yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

“Apakah yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang? Jangan kita wariskan perpecahan, sebaliknya, wariskanlah sebuah masyarakat yang bersatu, berilmu, berakhlak, berdikari dan yakin dengan masa depan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Melayu menjadikan sambutan kemerdekaan tahun ini sebagai titik permulaan untuk memperbaharui tekad dalam memperkukuh ukhuwah.

“Jangan terlalu lama mencari perkara yang memisahkan kita. Carilah sebanyak mungkin perkara yang menyatukan kita,” katanya.

Marzuki turut mengajak rakyat mengenang jasa generasi terdahulu serta mendoakan mereka yang telah berkorban demi tanah air.

“Penyatuan sebagai kekuatan, persaudaraan sebagai asas dan masa depan generasi muda sebagai tujuan,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *