KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) memberi isyarat jelas gabungan itu kini lebih terbuka kepada sebarang kemungkinan kerjasama politik, termasuk dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha memastikan kestabilan serta kemakmuran negara terus dipertahankan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiada mana-mana parti yang ditolak secara mutlak sekiranya terdapat kesediaan untuk membentuk kerjasama yang kukuh dan mempunyai matlamat bersama.
Malah, dalam kenyataan yang dilihat berpotensi mencetuskan perhatian dalam landskap politik negara, Menteri Besar Selangor itu berkata, jika PH boleh menerima pelawaan UMNO untuk bekerjasama, tidak ada sebab Bersatu perlu diketepikan sekiranya parti itu turut bersedia membentuk kerjasama.
“Kalau UMNO kita boleh terima, takkanlah kita tak boleh terima Bersatu,” katanya.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran PH tidak menutup kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu menjelang pilihan raya akan datang, ketika parti-parti politik mula menyusun strategi bagi menghadapi persaingan yang dijangka semakin sengit.
Amirudin berkata, keterbukaan itu penting bagi mengelakkan negara kembali terjerumus dalam episod ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini.
Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama politik perlu menjurus kepada pembentukan kerajaan yang stabil dan mampu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Mengulas mengenai perubahan pendirian serta hubungan antara parti politik, Amirudin menyifatkan perjalanan PH sebelum ini ibarat hubungan rumah tangga yang melalui episod “kahwin dan cerai” dengan beberapa parti.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, PH sebelum ini pernah bekerjasama dengan Bersatu sebelum hubungan itu berakhir, manakala hubungan dengan UMNO pula pernah melalui fasa perpisahan sebelum kedua-dua pihak membuka ruang untuk bekerjasama dalam kerajaan ketika ini.
Beliau berkata, perubahan bentuk kerjasama politik tidak semestinya menggambarkan ketidakstabilan, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada proses kematangan politik dalam mencari formula terbaik untuk mentadbir negara.
Namun, keterbukaan PH itu tidak bermakna gabungan berkenaan bersedia menerima mana-mana bentuk kerjasama tanpa pertimbangan.
Sebaliknya, Amirudin menegaskan setiap pihak yang mahu bekerjasama perlu mempunyai komitmen jelas untuk mempertahankan kestabilan dan kemakmuran negara, selari dengan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita tak nak ulangi dan kita kena tubuhkan kerajaan yang stabil,” katanya.
Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian memandangkan landskap politik Malaysia semakin dinamik, dengan kemungkinan penjajaran baharu antara parti menjadi antara perkara yang bakal mencorakkan persaingan menuju pilihan raya akan datang.
Kenyataan Amirudin juga membuka ruang kepada pelbagai tafsiran mengenai masa depan hubungan PH dengan UMNO dan Bersatu, terutama sekiranya kepentingan politik serta keperluan membentuk kerajaan stabil menjadi keutamaan selepas pilihan raya kelak.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
