Merdekakan Institusi, Tadbir Urus Diri Sebelum Mentadbir Negara

Oleh: Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd. Omar

SETIAP kali tanggal 31 Ogos menjelang, laungan “Merdeka!” kembali bergema. Ia bukan sekadar ungkapan patriotisme, tetapi mengingatkan kita kepada sebuah perjuangan besar iaitu perjuangan membebaskan tanah air daripada penjajahan dan memperoleh hak menentukan sendiri masa depan diri dan negara.

Namun, selepas hampir tujuh dekad merdeka, makna kemerdekaan perlu terus diperluaskan. Jika generasi terdahulu berjuang supaya bangsa ini mampu mentadbir negaranya sendiri, cabaran generasi hari ini adalah memastikan mereka yang diberikan kuasa mampu mentadbir diri sendiri sebelum mentadbir negara dan institusi. Inilah dimensi kemerdekaan yang jarang dibicarakan.

Sesebuah negara mungkin sudah bebas daripada penjajahan asing, tetapi institusinya masih boleh terbelenggu oleh konflik kepentingan, campur tangan tidak wajar, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, kelemahan semak dan imbang serta budaya takut menyatakan kebenaran.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Maka, kemerdekaan tidak boleh berhenti pada self-rule sebuah negara. Ia mesti diterjemahkan kepada self-governance atau tadbir urus kendiri dalam kalangan manusia (baca: pemimpin) dan institusi yang mengurus amanah rakyat.

Persoalannya hari ini bukan lagi sekadar siapa yang mentadbir Malaysia, tetapi lebih penting, bagaimana amanah Malaysia ditadbir?

RCI Tabung Haji: Cermin untuk bermuhasabah

Merujuk kepada pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini memberi ruang penting untuk kita bermuhasabah mengenai persoalan tersebut.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. Antara perkara yang diketengahkan adalah kelemahan tadbir urus serta terdapat unsur campur tangan politik dalam beberapa aspek pengurusan dan keputusan operasi TH.

RCI turut meneliti kerangka perundangan di bawah Akta Tabung Haji 1995 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan. Namun, laporan RCI tidak seharusnya dibaca semata-mata untuk mencari siapa yang perlu dipersalahkan. Jauh lebih penting adalah menjadikannya sebagai cermin institusi.

Apakah kelemahan sistem yang membolehkan sesuatu keputusan berlaku? Adakah semak dan imbang berfungsi? Adakah lembaga mempunyai kebebasan profesional yang mencukupi?

Adakah pegawai mempunyai ruang untuk menegur? Dan paling penting, apakah pembaikan yang telah dan perlu dilakukan supaya kelemahan sama tidak berulang?

Dalam hal ini, perkembangan semasa selepas tempoh disiasat juga perlu dinilai secara adil. TH memaklumkan sebahagian besar syor RCI sudah dilaksanakan atau sedang dalam proses pelaksanaan, di samping usaha penstrukturan dan pengukuhan kedudukan kewangannya sedang dilaksanakan.

Inilah semangat pembaharuan institusi yang sepatutnya kita bina. Berani melihat kelemahan, melakukan muhasabah dan seterusnya memperbaikinya bagi mendapatkan semula kepercayaan 9.7 juta pendeposit.

FELDA dan 1MDB: Pengajaran tentang institusi

Negara pernah berhadapan pelbagai episod membabitkan institusi strategik yang melibatkan kepentingan awam. Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022, misalnya, melaporkan FELDA mengalami kerugian bersih RM1.005 bilion dengan pinjaman daripada institusi luar berjumlah RM8.659 bilion.

Ketua Audit Negara turut menekankan keperluan FELDA mempunyai hala tuju yang jelas bagi memastikan kelestarian kewangan serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 21 Ogos lalu yang menyatakan FELDA turut memerlukan pembaikan pengurusan susulan menanggung hutang dan kerugian hampir RM10 bilion.

Sebelum itu, Yang Dipertuan Agong bertitah supaya siasatan berkaitan Laporan RCI Lembaga TH serta isu FELDA dilaksanakan secara menyeluruh.

Begitu juga pengalaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2016 memberikan pengajaran besar mengenai kelemahan tadbir urus, termasuk persoalan pemantauan lembaga terhadap pengurusan dan keputusan korporat.

Lembaga TH, FELDA dan 1MDB tentunya mempunyai latar belakang, mandat dan permasalahan yang berbeza. Ketiga-tiganya tidak wajar disamakan secara simplistik.

Namun, ada satu pengajaran bersama yang sukar dinafikan. Institusi yang besar tidak semestinya kebal daripada kegagalan tadbir urus, serta kumpulan pengurusan institusi juga tidak kebal dari sebarang undang-undang jika wujud salah laku tadbir urus, pecah amanah, salah guna kuasa, ketirisan dan kelemahan integriti.

Perdana Menteri turut menegaskan, isu pengurusan yang dialami seperti FELDA perlu diakui dan dijadikan pengajaran, bukan satu warisan untuk dilanjutkan.

Bangunan yang hebat, aset berbilion ringgit, sejarah panjang dan struktur organisasi yang kompleks tidak dengan sendirinya menjamin integriti. Kekuatan sesebuah institusi akhirnya bergantung kepada kualiti individu (pemimpin atau pengurusan) yang diberikan amanah untuk menguruskannya.

Tadbir urus diri sebelum mentadbir institusi

Kita lazim membicarakan corporate governance, good governance, audit, pengurusan risiko, integriti dan pematuhan. Semua ini sangat penting. Namun ada satu lapisan lebih asas yang perlu diberikan perhatian iaitu tadbir urus diri atau self-governance.

Self-governance dimaksudkan sebagai “keupayaan seseorang atau kumpulan untuk melaksanakan semua fungsi pengawalseliaan yang diperlukan tanpa campur tangan daripada pihak berkuasa luaran”.

Malaysia mempunyai pelbagai mekanisme pengawasan luaran. Kita mempunyai Parlimen, PAC, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan kawal selia, audit dalaman dan luaran serta pelbagai undang-undang.

Tetapi, undang-undang tidak mungkin berada dalam setiap bilik mesyuarat. Juruaudit tidak mungkin duduk di sebelah setiap pegawai ketika sesuatu keputusan dibuat. Anggota dan akta SPRM juga tidak seharusnya menjadi satu-satunya sebab seseorang takut menyalahgunakan kuasa.

Tadbir urus yang matang bermula apabila seseorang melakukan perkara yang betul bukan kerana takut diperiksa, tetapi kerana dirinya sendiri menolak untuk melakukan perkara yang salah.

Inilah yang dimaksudkan dalam perspektif Islam bermula dengan muraqabah, dilaksana dengan amanah dan dikawal selia dengan muhasabah. Islam menyediakan asas yang sangat kuat dalam membentuk tadbir urus dari dalam diri.

Pertama, ialah muraqabah, iaitu kesedaran bahawa manusia sentiasa berada dalam pengetahuan dan pengawasan Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 1, “Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”

Muraqabah melahirkan mekanisme kawalan paling asas dalam diri manusia. Seseorang pemegang amanah tidak hanya bertanya, “Adakah keputusan ini akan melepasi audit?” Sebaliknya dia bertanya, “Adakah keputusan ini benar? Adakah ia adil? Adakah amanah rakyat terpelihara?”

Kedua adalah amanah. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 58, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.”

Dalam kerangka ini, jawatan bukan pemilikan, kuasa bukan keistimewaan, dana awam bukan milik sesiapa yang menguruskannya, maka semua itu adalah amanah.

Ketiga, muhasabah iaitu keberanian menilai diri, mengakui kelemahan dan melakukan pembetulan sebelum kesalahan itu ditemukan oleh orang lain.

Institusi yang matang tidak menunggu sebarang jawatankuasa siasatan atau laporan prestasi untuk bermuhasabah. Malah individu yang memimpin atau mengurus institusi tidak menunggu teguran audit untuk memperbaiki kelemahan dan tidak menunggu krisis untuk membetulkan sistem.

Namun, kemerdekaan institusi bukan bermaksud bebas daripada kerajaan, undang-undang atau akauntabiliti. Sebaliknya, ia bermaksud sesebuah institusi mempunyai kekuatan profesional untuk membuat keputusan berdasarkan mandat, undang-undang, data, kepakaran, integriti dan kepentingan awam.

Kemerdekaan tertinggi ialah ihsan

Generasi terdahulu memperjuangkan self-rule dimana hak sebuah bangsa menentukan nasib dan mentadbir negaranya sendiri. Generasi hari ini pula mewarisi lalu memikul amanah membina self-governance iaitu, kemampuan manusia yang diberikan kuasa untuk terlebih dahulu mentadbir dirinya sendiri.

Generasi hari ini perlu membebaskan institusi daripada ketirisan, konflik kepentingan, kerakusan kuasa, ketakutan menyatakan kebenaran dan budaya mendahulukan kepentingan diri berbanding amanah rakyat.

Namun, Islam membawa kita satu tingkat lebih tinggi daripada sekadar pematuhan, integriti dan tadbir urus iaitu bersikap ihsan.

Dalam Hadis Jibril, apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai ihsan, Baginda bersabda: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu” (Riwayat Muslim).

Inilah asas paling mendalam kepada tadbir urus kendiri. Audit bertanya apa yang telah kita lakukan. Undang-undang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Sistem semak dan imbang mengawasi bagaimana kuasa digunakan.

Tetapi, ihsan mengawal manusia ketika tiada siapa sedang memerhatikannya. Di sinilah muraqabah bertemu amanah. Di sinilah muhasabah melahirkan mas’uliyyah (tanggungjawab). Dan, di sinilah integriti tidak lagi bergantung semata-mata kepada pengawasan manusia, tetapi tumbuh daripada kesedaran bahawa setiap amanah akhirnya akan dipersoalkan.

Maka, sempena Hari Kebangsaan ini, kita perlu membawa makna “Merdeka” ke satu tahap lebih tinggi, “Merdekakan institusi dan Tadbir urus diri sebelum mentadbir negara”.

Ini kerana kemerdekaan sesebuah bangsa bermula apabila ia mampu mentadbir negaranya sendiri. Tetapi, kematangan sesebuah bangsa hanya tercapai apabila mereka yang diberikan kuasa mampu mentadbir diri mereka sendiri.

Dan, mungkin di situlah ukuran kemerdekaan yang paling tinggi apabila kita tetap memilih untuk berlaku benar, amanah dan adil, bukan kerana manusia sedang melihat kita, tetapi kerana kita sedar bahawa Allah SWT sentiasa melihat kita.

Selamat Hari Kemerdekaan ke-69. Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd. Omar ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *