KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengenai beberapa langkah baharu kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beberapa langkah yang diumumkan, termasuk pengembalian had kelayakan subsidi petrol RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, dilihat mampu memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, keputusan menaikkan semula had berkenaan wajar dilihat sebagai langkah membantu rakyat, khususnya golongan yang bergantung kepada kenderaan persendirian dalam menjalankan urusan harian.
Pada masa sama, Muhyiddin turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan yang mencatat hasil jualan sehingga RM3 juta setahun.
Katanya, langkah itu berpotensi membantu perniagaan kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi serta pelbagai tekanan ekonomi.
Selain isu subsidi petrol dan e-Invois, beliau turut menyambut baik beberapa langkah lain yang diumumkan kerajaan, termasuk peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta.
Kata beliau, peruntukan tambahan itu diharapkan dapat membantu meningkatkan keadaan infrastruktur dan kemudahan sekolah, sekali gus memberi manfaat kepada warga pendidikan.
Dalam bidang kesihatan pula, katanya, usaha mendigitalkan perkhidmatan kesihatan dilihat sebagai langkah yang boleh memperkemas penyampaian perkhidmatan kerajaan serta memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan berkaitan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Muhyiddin turut memberi perhatian kepada usaha memperluaskan akses belia kepada langganan perisian kecerdasan buatan (AI), yang disifatkannya sebagai langkah selari dengan perkembangan ekonomi digital dan keperluan meningkatkan kemahiran generasi muda.
Bagi sektor perniagaan, beliau menyambut baik penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion yang disasarkan kepada peniaga kecil.
Turut diberikan perhatian ialah penyediaan geran berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam serta wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Menurut Muhyiddin, keseluruhan langkah tersebut diharapkan dapat meningkatkan mutu penyampaian kerajaan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital, selain merancakkan aktiviti perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Bagaimanapun, beliau menegaskan, keberkesanan setiap inisiatif yang diumumkan bergantung kepada sejauh mana pelaksanaannya dapat dilakukan dengan segera dan sampai kepada kumpulan sasaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian serta agensi kerajaan berkaitan supaya segera menyalurkan peruntukan yang telah diumumkan.
“Setiap bentuk bantuan perlu dipastikan sampai kepada individu dan perniagaan yang benar-benar layak, tanpa berlaku kelewatan yang boleh menjejaskan manfaat yang sepatutnya diterima.
“Susulan daripada pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berharap, langkah yang diumumkan kerajaan tidak terhenti setakat pengumuman semasa, sebaliknya disusuli pendekatan lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
