BERITA UTAMA
PRK Sungai Bakap: BN atur strategi menangkan calon Kerajaan Perpaduan - Zambry

Keputusan Bersatu lucut enam MP, ADUN sebagai muslihat politik – Zambry

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan memantau keputusan Bersatu yang melucutkan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan keputusan itu sebagai muslihat politik berbanding keutamaan untuk mengekalkan kestabilan dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN, pada Jumaat.

Bersatu pada Khamis mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan, lapor AWANI.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya, Datuk Dr Ronald Kiandee selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada Jumaat, suatu precedent atau duluan kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sudah diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Susulan pengumuman Mohd Amar itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya turut memaklumkan mesyuarat khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diadakan pada Jumaat ini.

Selain itu, Zambry turut memaklumkan semua Parti Komponen dan Friends of Barisan Nasional memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap.

“Mesyuarat juga memberi komitmen berterusan untuk BN membawa isu-isu rakyat yang memerlukan kesegeraan tindakan demi memelihara kesejahteraan hidup rakyat melalui langkah-langkah proaktif yang diambil bersama KerajaanPerpaduan,” katanya.

Zambry berkata, sempena Ulangtahun Jubli Emas BN ke-50, Dewan Tertinggi Barisan Nasional bersetuju mengadakan beberapa program khas bagi memperkasakan hubungan parti dengan rakyat sebelum sambutannya diadakan pada hujung tahun. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *