BERITA UTAMA
Jutaan terperangkap banjir landa timur laut Bangladesh

Jutaan terperangkap banjir landa timur laut Bangladesh

DHAKA – Banjir di sebahagian kawasan timur laut Sylhet, Bangladesh akibat aliran air deras dari hulu sungai yang disertai hujan lebat telah menjejaskan jutaan orang dan memaksa puluhan ribu orang berpindah.

Sheikh Russel Hasan, Timbalan Pesuruhjaya dan Majistret daerah di Sylhet memberitahu Xinhua pada Khamis bahawa “sekitar 1 juta orang terjejas banjir hanya di daerah Sylhet”.

Beliau berkata pihak berkuasa telah menghantar pasukan respons bencana untuk menjalankan operasi menyelamat, mengedarkan bahan bantuan dan menyelia pusat penempatan sementara untuk sekurang-kurangnya 20,000 orang.

Laporan TV menunjukkan kawasan yang luas ditenggelami air di sebahagian kawasan timur laut Bangladesh yang menyebabkan kerosakan besar kepada tempat tinggal, tanaman, jalan raya dan lebuh raya.

Pegawai berkata puluhan ribu rumah di daerah Sunamganj, Moulvibazar dan Habiganj yang berdekatan dengan Sylhet juga telah ditenggelami air dan bekalan elektrik telah terputus.

Paras air di kebanyakan sungai utama seperti Surma, Kushiyara, Manu, Dhalai, Kalni dan Gowain yang mengalir melalui daerah-daerah itu telah melimpahi tebing dan air sungai melebihi paras bahaya pada Rabu.

Tentera Bangladesh telah dikerahkan pada Rabu untuk melindungi stesen jana kuasa yang terjejas oleh banjir di bandar Sylhet dan memastikan bekalan kuasa tidak terganggu akibat bencana banjir.

Akhbar berbahasa Inggeris terkemuka The Financial Express pada Khamis berkata banjir yang sedang melanda telah menyebabkan hampir 2 juta orang terkandas di daerah timur laut sementara hujan lebat yang berterusan mengancam memburukkan lagi keadaan.

Setakat ini tiada kecederaan atau kematian yang diketahui berlaku di daerah-daerah berkenaan akibat banjir yang sedang melanda.

Jutaan orang di Bangladesh, yang dilalui oleh ratusan sungai, menderita akibat banjir kerana negara rendah ini mengalami banjir bermusim setiap tahun semasa monsun Jun-September apabila sungai-sungai yang mengalir ke Teluk Bengal melimpahi tebing.

Sekurang-kurangnya 10 orang dalam kejadian tanah runtuh yang berasingan mati di kem pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar pada Rabu apabila hujan lebat telah menenggelamkan banyak tempat. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *