BERITA UTAMA
Putra bantah pasukan Duta Online KPKT, membazir wang rakyat

Putra bantah pasukan Duta Online KPKT, membazir wang rakyat

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah penubuhan pasukan Duta Online KPKT melibatkan pelantikan 200 kakitangannya yang bertindak menyampaikan maklumat sahih dan mengatasi fitnah.

Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat menyifatkan penubuhan itu tidak lain adalah agenda parti cauvinis yang mahu memperkasakan kedudukannya kerana sekarang ini ramai kartel dan perasuah berselindung di sebalik kuasa penguatkuasaan yang ada pada kementerian itu.

Lagi pun, ujar beliau, bukankah agensi di bawah kementerian itu berhadapan dengan permasalahan besar soal isu integriti melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Permasalahan seperti ini sepatutnya dibanteras oleh agensi siasatan bebas seperti Ombudsman yang masih dalam cadangan untuk ditubuhkan, bukan menubuhkan pasukan penyampai maklumat atau cyber trooper yang nantinya umpama mahu menegakkan benang basah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan penubuhan pasukan ‘Duta Online KPKT’ untuk menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih.

Menterinya, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, seramai 200 kakitangan kementerian itu telah dipilih sebagai duta tersebut untuk kerajaan Madani.

Penubuhan pasukan ini bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah, tetapi juga menggunakan bahasa dan pendekatan yang lebih mudah difahami oleh rakyat.

Menurut Asmawar, pada 4 Jun lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Tan Sri Dr. Ismail Bakar telah menyatakan hasrat penubuhan Ombudsman Malaysia yang mempunyai bidang kuasa ke atas semua agensi kerajaan termasuk badan penguatkuasa bagi mengatasi permasalahan kelemahan pentadbiran dan ketirisan.

Kata beliau, bantahan Putra sejajar dengan kritikan keras Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau yang menganggap tindakan KPKT itu sebagai pembaziran dana awam yang serius dan tidak menepati keperluan rakyat kerana akan menekan kebebasan bersuara.

“Kor Ming secara sedar atau tidak, dapat dilihat telah tersalah bertindak secara ‘silo’ yang boleh dianggap membelakangi aspirasi kerajaan Madani yang disertainya dan kesejahteraan rakyat.

“Sebelum ini ketika Barisan Nasional (BN) ada JASA dan sekarang zaman PH ada JKOM, tidak cukup lagikah membazir wang rakyat.

“Ini semua untuk melaksanakan agenda politik parti bagi mengunakan dana kerajaan yang merupakan duit rakyat,” ujar beliau. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *