JOHOR BAHRU – Polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Abad, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka pada jam 5.04 petang.
Katanya, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian D14 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama D9 JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah kereta jenis Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.
“Tindakan suspek menyebabkan polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Kumar, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut telah terkena tembakan dan meninggal dunia.
Kata beliau, semakan mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah, manakala seorang lagi belum dikenal pasti identiti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai dua pucuk pistol dalam kenderaan dinaiki mereka dan polis juga menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek.
“Turut ditemui pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Kata Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252