BERITA UTAMA
Selain Ustaz Don, Suhaimi juga wajar direhatkan – Dr. Rozaimi

Selain Ustaz Don, Suhaimi juga wajar direhatkan – Dr. Rozaimi

SHAH ALAM – Selain Ustaz Don Daniyal yang menimbulkan kontroversi dalam menyampaikan dakwahnya mutakhir ini, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman juga wajar direhatkan.

Itu pandangan pakar bidang hadis, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle yang menyifatkan penyampaian dakwah oleh Don Daniyal Don Biyajid dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1 semalam sebagai mengelirukan, manakala Suhaimi pula tidak tegas dalam membuat keputusan.

Katanya, pendakwah itu yang beberapa hari lalu direhatkan dari rancangan berkenaan telah dipanggil semula oleh RTM, namun dikatakan telah melanggar peraturan kali kedua.

Dr. Rozaimi dalam ulasannya bagi menjawab kontroversi kedua Ustaz Don itu meninggalkan persoalan, siapa perlu direhatkan.

Menurutnya, sebaik mendengar pencerahan dalam rancangan itu, beliau meminta Ustaz Don menamakan kitab bagi riwayat yang diperkatakan bahawa ‘memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 kuda di jalan Allah’.

“Sengaja saya minta nama kitab bagi riwayat yang saudara Don bacakan dalam rancangan RTM dalam hantaran saya (Facebook) semalam.

“Saya sudah menjangkakan pastinya saudara Don akan memberikan nama kitab Lubab al-Hadith dan Tanqih al-Qaul al-Hadith.

“Dengan rujukan yang diberikan ini jelas saudara Don sememangnya percaya ia ini adalah hadis. Justeru, saya katakan hadis yang dia baca ini tidak ditemui asalnya, tidak diketahui sanadnya,” katanya menerusi hantaran terbaharu Facebooknya semalam.

Ketika menjawab isu itu, Ustaz Don dilaporkan berkata, berlaku salah faham apabila perkongsiannya dimanipulasi sehingga digugurkan dari mengendalikan program terbitan RTM, Salam Baitullah.

Ujar beliau, topik menghormati guru bukan hadis seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya merupakan petikan kitab tulisan imam Masjidil Haram.

Katanya, mereka mendengar hanya daripada satu pihak sahaja tanpa menyiasat atau memperincikan lebih mendalam hal dibangkitkan dan kemudian situasi dimanipulasi.

Serentak itu juga Suhaimi memberi respon segera bahawa tugas Ustaz Don dalam rancangan itu hanya bertanya soalan seperti wartawan, tidak perlu hendak ‘membedah’ hadis atau menyampaikan dakwah menggunakan hadis yang tidak sahih.

Bahkan, dalam ulasannya itu, beliau jelas terkilan dan marah dengan sikap pendakwah berkenaan yang seolah tidak serik walaupun sudah ditegur berulang kali agar berhati-hati dalam percakapannya.

“Sudah tentu saya rasa geram dan sedih sebab kami sudah berbincang dan menegur perkara ini. Malah, dia juga sedar dan memohon maaf seandainya ada kesilapan yang dilakukan dalam program itu,” kata Suhaimi.

Mengulas lanjut, Dr. Rozaimi menyatakan, kitab Lubab al-Hadith juga diragui adakah benar ia ditulis oleh Imam al-Suyuti berdasarkan rujukan tesis PhD Prof. Dr. Mustaqim dan hantaran Dr. Khafidz Soroni yang meragui penisbahan kitab itu kepada al-Suyuti.

“Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith, manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.

“Semua kitab yang saudara Don berikan ini tidak menunjukkan hadis ini ada asalnya dan dengan kes penyebaran hadis tidak diketahui asal ini jelaslah saudara Don sememangnya tidak berhati-hati ketika menukil riwayat.

“Mungkin ramai mendesak saudara Don direhatkan. (Namun), saya melihat Ketua Pengarah RTM bernama Suhaimi Sulaiman juga wajar direhatkan sekali,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *