BERITA UTAMA

Pengakuan di hadapan majistret prosedur ‘pelik’ – Peguam

SHAH ALAM – Seorang peguam jenayah menyifatkan tindakan polis memohon mendapatkan pengakuan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di hadapan majistret sebagai prosedur ‘pelik’.

Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, tindakan seperti itu amat jarang berlaku di negara ini.

Beliau sendiri mengakui agak janggal dengan tindakan itu kerana sepanjang 32 tahun mengendalikan kes sedemikian, hanya seorang suspek pernah dibawa di hadapan majistret sekitar 1998.

“Saya tak mahu buka cerita lama, tetapi jika dilihat persoalan utama, mengapa tak izinkan peguam iaitu Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Jumaat terlibat sama dalam proses tersebut?

“Ia perkara yang mandatori, kalau tidak diwakili peguam memang boleh (permohonan pengakuan), tapi sekarang ini mereka ada peguam.

“Apabila peguam tak dipanggil (ke mahkamah) konon hendak memudahkan kerja dan pengakuan anak guam tidak dinasihat oleh pengamal undang-undang, ia akan menimbulkan persepsi negatif,” katanya dalam program Interviu yang disiarkan secara langsung di TikTok Sinar Harian semalam.

Program itu mengupas kisah kanak-kanak autism Zayn Rayyan yang mati dibunuh pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Zaim dan Ismanira ditahan di sekitar Puncak Alam oleh polis Selangor bagi membantu siasatan, selain mahkamah membenarkan reman pasangan berusia 29 tahun itu selama 13 hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ahmad Zaharil berpandangan, jika terdapat sebarang pengakuan daripada orang yang disyaki (OYDS), ia disifatkan tidak adil kerana masing-masing tidak diberi nasihat sebaiknya.

“Jadi, ia menimbulkan kemarahan dan tanda tanya. Saya sendiri tertanya-tanya apa kegilaan yang mereka buat ini?

“Apakah mereka terdesak untuk mendapatkan kes pendakwaan atau ini sahaja bukti yang ada, itu yang kita nak tahu,” ujar beliau. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *