BERITA UTAMA
Adik Zayn Rayyan ada ciri kanak-kanak autistik, perlu penjagaan khusus - Nancy

Adik Zayn Rayyan ada ciri kanak-kanak autistik, perlu penjagaan khusus – Nancy

KUCHING – Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai perwatakan kanak-kanak autistik.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak itu perlu diberi perlindungan dan penjagaan khas oleh JKM.

Kata beliau, ketika ini mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara kanak-kanak itu selama dua bulan sehingga 9 Ogos ini kepada JKM.

“Keadaan semasa kanak-kanak itu yang tidak boleh bertutur memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus.

“Saya difahamkan adiknya pun tidak dapat bercakap, jadi memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus dan dia ditempatkan di rumah pelindungan kami. Bukan melabel dirinya autistik, namun karakter tersebut ada.

“Sementara menunggu keputusan mahkamah, kita menempatkannya di rumah lindungan JKM. Sementara menunggu senarai dan menyerahkannya kepada orang yang layak dan sesuai, kita telah membawanya ke mahkamah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Autism Empowerment Week di Borneo Cultural Museum hari ini.

Kata Nancy, JKM masih dalam proses mengenal pasti orang yang layak dan sesuai (OYLS) untuk diberi kuasa penjagaan kepada adik Zayn Rayyan.

Pihaknya bagaimanapun, telah menyenarai pendek beberapa nama mereka.

“Walaupun OYLS ini memiliki kuasa mutlak untuk menjaga, namun sifat dan tempoh penjagaannya adalah berstatus sementara.

“OYLS ini akan diberi kelulusan secara mutlak untuk menjaga nanti… namun akan diberi tempoh sementara juga untuk melihat keserasian.

“Kita akan pastikan OYLS dan anak tersebut diberi tempoh bersama bergantung kepada keserasian mereka sama ada dalam tempoh dua minggu atau dua bulan dan kita akan memantau dari semasa ke ssemasa,” ujarnya.

Tambah Nancy, terdapat kriteria tertentu untuk seseorang individu menjadi OYLS untuk mendapat kuasa penjagaan mutlak.

“Namun begitu, kami harus berhati-hati untuk menyerahkan kepada OYLS kerana anak ini terdapat ciri-ciri khas dan tidak semua penjaga dapat memelihara anak yang mempunyai ciri-ciri autisme dan dia perlu dipantau dengan rapi,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *