BERITA UTAMA
SPRM rampas RM4.4 juta milik pegawai kastam

SPRM rampas RM4.4 juta milik pegawai kastam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas kira-kira RM4.4 juta dari 11 pegawai Kastam yang dikaitkan dengan sindiket ‘kontena terbang’.

Difahamkan, semua mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan ketirisan duti Kastam dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Selain itu, enam individu iaitu pengarah, pekerja syarikat, seorang runner dan kekasihnya turut ditahan SPRM selepas dikaitkan dengan sindiket berkenaan, lapor Harian Metro.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai Kastam terbabit.

“SPRM juga turut menyita empat unit motosikal Yamaha XMAX setiap satunya berharga kira-kira RM28,000, kenderaan Toyota Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang semuanya dibeli secara tunai.

“Semua sitaan ini sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini.

“Susulan siasatan ini juga, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu dibekukan dengan anggaran nilai RM2 juta,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, SPRM juga dalam proses mengesan akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek sindiket ini.

Katanya, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga memeriksa semua 19 kontena yang disita sebelum ini dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rims, kenderaan, part kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya.

“Sindiket penyeludupan ini dikesan membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan dalam kontena itu sebagai barangan tidak bercukai seperti kerusi roda, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan.

“Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit.

“Ini adalah antara kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan membabitkan isu ketirisan hasil negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap semua individu tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya, tindakan mengesan dalang utama sindiket itu giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberikan kenyataan, negeri-negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan kini dalam perhatian pihaknya bagi mengesan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *