MELAKA – Rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin memperlihatkan perkembangan positif apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan perbincangan antara kedua-dua blok politik itu telah dimulakan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, rundingan sudah berlangsung sejak tiga hari lalu, membabitkan wakil pimpinan pusat yang dilantik oleh kedua-dua parti.
Menurut beliau, meskipun proses tersebut masih berada pada peringkat awal, perkembangan dicapai setakat ini memberikan petunjuk terdapat ruang yang luas untuk kedua-dua pihak meneruskan perbincangan ke tahap lebih serius.
“Persiapan dari peringkat parti sudah pun bermula dan sedang berjalan, akan disambung perbincangan ini ke peringkat seterusnya,” katanya.
Perkembangan itu memberikan dimensi baharu kepada persaingan politik di Melaka yang bakal menyaksikan parti-parti politik menyusun strategi bagi merebut mandat pengundi negeri berkenaan.
Walaupun Abdul Hadi belum mengesahkan bentuk akhir kerjasama bakal dicapai, pengakuan rundingan rasmi sudah dimulakan menunjukkan hubungan antara PN dan BN kini memasuki fasa yang lebih tersusun.
Kata Abdul Hadi, terlalu awal untuk menentukan sama ada kerjasama PN-BN dapat direalisasikan sepenuhnya dalam PRN Melaka.
Bagaimanapun, beliau memberi gambaran perkembangan awal rundingan itu cukup memberangsangkan untuk diteruskan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Itu masih peringkat awal tapi peringkat awal pun telah menunjukkan prestasi yang sangat baik.
“Progres perbincangan, Alhamdulillah sangat positif. Kita mengambil semangat daripada apa yang berjaya di Johor dan di Negeri Sembilan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
