‘Hadaplah kecaman, dulu anda cakap macam-macam’, KJ beritahu kerajaan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menerima kritikan atas keputusannya melaksanakan penyasaran subsidi diesel berbanding merungut mengenainya, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

FMT melaporkan, dalam episod terbaharu audio siar “Keluar Sekejap”, Khairy berkata, PH perlu menangani kecaman itu.

“Sebab awak dulu bila jadi pembangkang, cakap macam-macam. Macam herolah, macam menang hari ini, semua benda akan jadi ‘free’.

“Jadi, bila dah jadi kerajaan, dah tahu. Dah tahu buat kali pertama dalam hidup awak, menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab. Jadi, kena hadaplah.

Beliau berkata, kecaman dihadapi pemimpin kerajaan adalah hasil kenyataan dibuat mereka ketika menjadi pembangkang.

“Jangan merungut kerana dulu anda cakap macam-macam dan hari ini ludah itu jatuh pada muka, sapu sajalah”, katanya.

Pada 2013, Rafizi Ramli daripada PKR yang kini menjawat Menteri Ekonomi mengkritik keputusan kerajaan mengurangkan subsidi minyak.

Rafizi dilaporkan berkata, keputusan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan harga minyak mendedahkan pengurusan kewangan lemahnya.

Tetapi, pada April lalu, beliau pula dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan akan terus mengurangkan subsidi petrol dalam usaha menurunkan defisit fiskal.

Khairy turut mencadangkan pemansuhan subsidi petrol secara beransur-ansur kerana pelaksanaan secara menyeluruh akan memberi kesan ketara terhadap ekonomi negara, walaupun mempunyai sistem seperti Budi Madani.

Di bawah inisiatif itu, pemilik kenderaan diesel persendirian dalam kategori B40 akan menerima RM200.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel dinaikkan daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia mulai Isnin lalu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *