BERITA UTAMA
Tahfiz persendirian perlu daftar dengan JAIS untuk sertai program pemutihan - Exco

Tahfiz persendirian perlu daftar dengan JAIS untuk sertai program pemutihan – Exco

SHAH ALAM – Semua Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) yang beroperasi di Selangor perlu mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Exco kerajaan negeri, Fahmi Ngah.

Beliau berkata, pendaftaran itu mesti dibuat menerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) bagi melayakkan mereka menyertai Program Pemutihan Sekolah Agama ITP Negeri Selangor.

Beliau yang memegang portfolio Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri berkata, skop pemutihan itu akan hanya melibatkan ITP yang telah dibina dan beroperasi hingga 31 Disember 2023.

Namun, katanya, sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 724 ITP didapati belum berdaftar.

“Program pemutihan ini akan diselaraskan PITAS yang bertindak sebagai agensi sehenti untuk menyelaras penyediaan dokumentasi permohonan pemutihan dikemukakan ITP dan menerima semua dokumen yang disediakan ITP untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT).

“Tempoh kelulusan KMTT bagi tujuan pemutihan tahfiz persendirian ini adalah minimum tiga tahun dari tarikh kelulusan KMTT diberikan oleh PBT sebelum PITAS mengemukakan permohonan KMTT daripada ITP yang berdaftar kepada PBT, hanya hingga 31 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan KMTT bertujuan memberi peluang kepada PBT melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan, di samping memberi ruang kepada pengusaha ataupun tuan tanah untuk menjalankan aktiviti berdasarkan tempoh masa ditetapkan.

Beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk menjalankan aktiviti bersifat sementara di atas lot tanah, iaitu zon perancangan guna tanah yang ditetapkan dalam Rancangan Pemajuan adalah tidak selaras.

“Pemberian KMTT akan membolehkan PBT untuk mengenakan fi yang sesuai terhadap pembangunan bersifat sementara dan pada masa yang sama, perancangan serta pembangunan bagi sesuatu kawasan dapat dikawal bagi suatu tempoh ditetapkan.

“Pelaksanaan KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha dan PBT melalui kaedah perundingan iaitu KMTT antara pengusaha atau tuan tanah dengan PBT,” katanya.

Mohammad Fahmi berkata, dalam tempoh KMTT, ITP perlu mematuhi syarat-syarat kelulusan yang diberikan oleh PBT dan ketidakpatuhan akan membolehkan PBT menamatkan KMTT pada bila-bila masa.

“Sebaliknya, bagi ITP yang memenuhi syarat KMTT, ia layak dipertimbangkan untuk Permohonan Kebenaran Merancang Penuh kepada PBT, atau sebagai justifikasi kepada pelanjutan tempoh KMTT sekiranya dimohon oleh pengusaha tahfiz,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *