PETALING JAYA – Ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak membuat sebarang pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Peguamnya, Mahmud Jumaat berkata, bantahan terhadap permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan wanita berusia 29 tahun itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah .
Beliau yang ditemui selepas prosiding secara tertutup itu berkata, pihaknya membantah permohonan terbabit mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Pagi tadi, hanya ibu kepada Zayn Rayyan yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu, dibawa untuk merekodkan keterangan selepas dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah pada jam 12.50 tengah hari tadi.
Mahmud dan seorang lagi peguam, Fahmi Abdul Moin menyifatkan bantahan itu dibuat atas alasan polis cuba menggunakan akta tidak relevan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan untuk prosiding tersebut.
Selain itu, mereka berdua menegaskan, tiada sebarang notis diberikan dari pihak pegawai penyiasat kepada mereka selaku peguam terhadap prosiding yang dilakukan secara tertutup itu.
“Jadi bantahan pertama yang direkodkan (di hadapan majistret), mahkamah sedia maklum kami (peguam) tidak dimaklumkan. Dan juga atas sebab tidak ada apa apa peruntukan khusus.
“Kami tegaskan ia adalah prejudis sama ada terhadap Isma (ibu) atau Zaim (bapa).
“Ketiganya, yang menjadi asas bantahan kami juga, permohonan ini boleh menjejaskan apa-apa defense (hujah pembelaan) sekiranya dituduh, itu pun kalau dituduh,” kata Fahmi.
Terdahulu media difahamkan ibu Zayn Rayyan selaku salah seorang orang yang disyaki (OYDS) dalam kes kematian kanak-kanak malang itu akan dibawa ke mahkamah majistret untuk direkodkan pengakuan.
Bagaimanapun, Mahmud berkata, anak guam mereka bersetuju untuk hadir dengan tujuan membetulkan pengakuan yang telah dibuat sewaktu dalam tahanan reman baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pada awalnya sewaktu mereka tiba di luar kamar tersebut, pegawai penyiasat berkata, pengakuan akan dilakukan mengikut Seksyen 26 Kanun Tatacara Jenayah.
Untuk rekod, seksyen tersebut menyatakan, pengakuan salah oleh tertuduh semasa dalam jagaan polis tidak boleh dibuktikan bagi menentangnya.
Ia dinyatakan di bawah Peruntukan 26 (1) – Tertakluk kepada apa-apa peruntukan nyata yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa dia berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu, melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.
Fahmi pula berkata, permohonan bantahan mereka telah direkodkan dan akan menggunakannya jika kes tersebut dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.
Selain itu, beliau turut menjelaskan, buat masa ini pihak peguam akan menunggu esok, iaitu hari terakhir reman, untuk mengetahui jika kertas siasatan telah lengkap dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mewujudkan pendakwaan atau membebaskan ibu bapa Zayn Rayyan.
Untuk rekod, hanya ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah majistret hari ini, manakala bapanya terus dalam tahanan reman.
Pada Selasa, pasangan suami isteri itu dibawa ke kediaman serta lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan sebagai sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan kes.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ia antara prosedur perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, perkembangan lanjut sama ada siasatan kes itu sudah lengkap atau sebaliknya serta status reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Pada Isnin, ibu Zayn Rayyan dibawa semula ke kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, yang juga kanak-kanak autistik ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252