BERITA UTAMA
Faiz Fadzil

Sanusi tak perlu main isu air di Pulau Pinang, baik tumpu pembangunan Kedah – Faiz

KUALA LUMPUR – Amanah Pulau Pinang menasihatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhenti daripada mengulangi retorik murahannya bahawa negeri itu mengambi sumber air Sungai Muda secara percuma.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, Pulau Pinang pada dasarnya memiliki sebahagian daripada Sungai Muda kerana alirannya melalui negeri itu sebelum memasuki Selat Melaka.

Justeru, tegas beliau, Pulau Pinang berhak menggunakan air berkenaan selagi mana tidak mengganggu penggunaan Kedah.

“Sanusi perlu menghormati ‘prinsip riparian’ yang membenarkan semua pemilik tanah (dalam kes ini, Kedah dan Pulau Pinang) menggunakan sumber air berkenaan.

“Oleh itu, isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan atau dijadikan bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dengan membangkitkan sentimen di kalangan rakyat.

“Tindakan Sanusi mengulangi retorik ini boleh dilihat sebagai keinginannya memulakan perang ekonomi antara Pulau Pinang dan Kedah, memandangkan air adalah asas pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Faiz turut menasihatkan Sanusi mencari punca pendapatan lain untuk mengeluarkan Kedah dari kemiskinan mutlak yang tinggi, berbanding mengharapkan duit percuma.

“Kita tidak mahu suatu hari nanti, semua sungai di Malaysia difederalisasikan atau diletakkan bawah kuasa kerajaan persekutuan akibat perbalahan antara kerajaan-kerajaan negeri.

“Sanusi juga dinasihatkan menguruskan air Kedah dengan lebih bertanggungjawab. Pada ketika ini, ‘non-revenue water (NRW)’ Kedah telah melebihi 50 peratus. Ini bermaksud paip dan saluran air di Kedah tidak diselenggara dengan baik oleh kerajaan Pas menyebabkan lebih 50 peratus air dirawat hilang sebelum sampai ke rumah pengguna.

“Di Pulau Pinang, NRW ini jauh lebih rendah iaitu pada kadar 26 peratus dan pelbagai usaha terus diambil untuk mengurangkan kadar ini,” katanya. ‘

Katanya, berbanding di Kedah, krisis bekalan air terus berlaku di Merbok, Sungai Petani dan Kuala Kedah, malah dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan Sungai Limau yang sepatutnya boleh menyelesaikan masalah air masih lewat disiapkan.

Faiz berharap, menjelang PRK Sungai Bakap, pengundi memahami kegagalan dan ketidakupayaan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas mengurus pentadbiran dengan baik.

Oleh itu, katanya, Amanah menyeru pengundi memilih calon Kerajaan Perpaduan yang boleh membawa kemajuan ke Sungai Bakap dan Pulau Pinang.

“Ini masanya untuk membetulkan kesilapan lepas. Kerajaan Pulau Pinang sedang mengambil langkah konkrit mengatasi apa jua masalah yang berlaku di Sungai Bakap termasuk bekalan air,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *