KANGAR – Pengundi di DUN Sungai Bakap wajar mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sebagai satu pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah menaikkan harga diesel.
Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan PH sebelumnya berjanji menurunkan harga minyak, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila harga diesel dinaikkan.
“Di kawasan tersebut, terdapat lebih kurang 40 peratus pengundi bukan Melayu dan 60 peratus Melayu. Saya berharap pengundi ini dapat membuat pilihan yang bijak dan tepat dengan mengekalkan PN,” katanya.
Mohd Shukri turut menegaskan, mengekalkan PN adalah satu cara bagi memberi pengajaran kepada kerajaan yang tidak menunaikan janji untuk menurunkan harga minyak.
“InsyaAllah, dengan mengekalkan PN, ia dapat memberi pengajaran kepada kerajaan yang menaikkan harga minyak, sedangkan dulu janji nak turunkan,” kata beliau.
Beliau juga menyatakan, kenaikan harga diesel akan menyebabkan kenaikan harga barang, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.
“Kenaikan harga diesel ini terpaksa kita terima kerana berada di bawah kerajaan sedia ada. Saya rasa kenaikan harga barang tentu akan berlaku, inilah kesan kepada rakyat,” kata beliau lagi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252