KUALA TERENGGANU – Berbeza dengan pemimpin lain dalam Pas, Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai nada agak lembut dan tenang dalam melontarkan pandangannya berhubung penyasaran subsidi diesel.
Menteri Besar Terengganu itu menyifatkan langkah diambil kerajaan Persekutuan sebagai berani dan tepat.
Namun, beliau mengingatkan kerajaan Persekutuan agar dilaksanakan secara cermat bagi mengurangkan impak berantai yang dikhuatiri membebankan rakyat.
“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan kerana telah berlaku kebocoran (sebelum ini) kerana tanpa disedari, kita telah membiayai syarikat-syarikat yang tidak kena mengena dengan kita dan orang-orang luar.
“Begitupun keutamaan sekarang perlu diberi bagi mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kaedah pelaksanaan penyelarasan subsidi minyak perlu diteliti kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan kesan berangkai terhadap rakyat yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
Naib Presiden Pas itu berkata, kesan berangkai akibat kenaikan mendadak diesel sudah mula dirasai dengan beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan sudah mula mengumumkan kenaikan harga.
“Ini adalah satu cabaran yang sangat besar kepada sesebuah kerajaan Pusat untuk menanganinya.
“Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan. Saya ucap good luck (selamat berjaya) kepada pentadbiran (kerajaan Persekutuan),” katanya. – Kosmo Online!
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252