BERITA UTAMA
MINDEF serah surat setuju terima pembelian tiga LMS batch kedua

MINDEF serah surat setuju terima pembelian tiga LMS batch kedua

AANKARA – Kementerian Pertahanan menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), semalam.

Majlis penyerahan itu disempurnakan antara Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF, Dr. Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz dengan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turki, Prof Haluk Gorgun di ibu pejabat STM, di sini.

Mohamed Khaled berkata, projek itu akan mengambil masa kira-kira tiga setengah tahun untuk disiapkan dan Malaysia bakal menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027.

“Kita yakin projek ini akan disiapkan dalam masa ditetapkan kerana syarikat itu dimiliki oleh kerajaan Turki yang dipengerusikan Presiden mereka, maka ada jaminan daripada kerajaan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan itu, di sini.

Mohamed Khaled dalam rangka lawatan rasmi ke Turki selama lima hari sejak Ahad.

Beliau berkata, perancangan Kertas Putih Pertahanan menggariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mempunyai 18 LMS bagi mengawal perairan sempadan negara yang terdiri empat perairan iaitu Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi, Laut Selat Melaka dan Laut Sulu.

“Dengan perolehan tiga LMS batch kedua ini, diharap dapat membantu kita mencapai 18 kapal diperlukan TLDM. Jadi, pendekatan menyerahkan LOA kepada Turki ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk siapkan dalam masa ditetapkan, kalau tidak dapat disiapkan akan menjejaskan segala perancangan,” katanya

Pembinaan dan kelengkapan kapal itu akan dilakukan di Turki melibatkan kerjasama 50 syarikat dari sektor pertahanan Turki antaranya Aselsan, Havelsan dan Roketsan yang akan disepadukan dengan sistem termaju dan dilengkapi sistem senjata canggih, penderia serta sistem arahan dan kawalan yang membolehkan TLDM melaksanakan pelbagai misi dengan berkesan.

LMS batch kedua merupakan korvet kelas-Ada ialah jenis kapal peronda dan peperangan antikapal selam (ASW) yang dilengkapi peluru berpandu antipesawat canggih selain mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).

Dengan had laju maksimum lebih 26 knot dan jarak pelayaran sejauh 4,000 kilometer pada 14 knot, ia boleh memuatkan 111 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 14 hari selain turut dilengkapi dengan helipad dan hangar untuk menyimpan dan mengendalikan helikopter ASW atau pengangkut bersaiz sederhana serta pesawat tanpa pemandu (UAV).

Terdahulu, Mohamed Khaled memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua kerajaan berhubung perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan Turki-Malaysia.

“MoU seperti ini tidak pernah dibuat oleh Malaysia dengan mana-mana negara tetapi dibuat bersama Turki kerana ia mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara selain hubungan berasaskan kepercayaan, hormat menghormati dan keinginan membantu antara satu sama lain.

“Saya percaya pemeteraian MoU ini akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara terutamanya Malaysia kerana Turki adalah kuasa tentera yang canggih pada hari ini dengan teknologi pertahanan sangat baik dan merupakan satu daripada negara pembuatan aset ketenteraan tercanggih di Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, bagi membuktikan komitmen dalam melaksanakan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dibentuk dalam masa enam bulan akan datang bagi merancang inisiatif strategik dan memantau kemajuan pelaksanaan MoU berkenaan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *