BERITA UTAMA
Ibu Zayn Rayyan dibawa ke lokasi kejadian

Polis bawa ibu Zayn Rayyan ke lokasi kejadian untuk lakon semula

PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak autisme yang mati dipercayai dibunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dibawa semula oleh polis ke kediaman mereka di Damansara Damai, hari ini.

Dipercayai polis berbuat demikian untuk melakonkan semula kejadian, yang sehingga kini masih misteri.

Wartawan dan jurugambar turut berada di lokasi bagi melaporkan prosedur itu dan perkembangan terkini kes berkenaan.

Ibu Zayn Rayyan tiba di lokasi pada jam 10.15 pagi menaiki van putih menuju ke blok R di kediaman terbabit.

Suspek juga dibawa semula ke lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman.

Berdasarkan tinjauan di situ, kelihatan anggota polis turut membawa patung kanak-kanak.

Bagaimanapun tujuannya belum dapat dipastikan.

Kawasan sekitar lokasi kejadian juga dikawal ketat oleh anggota polis.

Sebelum itu, media melaporkan ibu bapa kepada Zayn Rayyan yang direman selama tujuh hari berakhir Jumaat, disambung reman kali kedua selama enam hari lagi sehingga Rabu depan.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *