BERITA UTAMA
'Saya tak boleh dibeli, dijolok-jolok dengan projek untuk diam' - TMJ

‘Saya tak boleh dibeli, dijolok-jolok dengan projek untuk diam’ – TMJ

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak boleh dibeli dan tidak gentar untuk terus lantang bersuara demi kepentingan rakyat Johor.

Baginda mengakui sedar terdapat gerakan yang cuba melakukan pembunuhan watak (character assassination) terhadapnya sejak akhir-akhir ini yang berpunca dari kelantangannya.

Tunku Ismail bertitah, perkara itu berlaku kerana baginda merupakan anak raja yang paling lantang memperjuangkan isu rakyat, lapor Sinar Harian.

Keadaan tersebut, titah baginda, menyebabkan pihak luar kurang senang terhadapnya.

“Saya tak boleh dibeli, saya tak boleh dijolok-jolok dengan projek untuk saya diam.

“Kalau perkara itu betul, saya akan cakap betul dan sekiranya perkara itu tak betul, saya akan cakap tak betul, tak kisah ia dari kerajaan atau pun parti politik.

“Oleh kerana kelantangan saya dan sentiasa memainkan isu kepentingan negeri Johor dan rakyat Johor, ada pihak luar yang kurang senang dengan saya dan adanya gerakan ‘character assassination’ ini,” titah baginda.

Baginda membuat pendedahan itu dalam sesi podcast secara langsung bersempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani bersama barisan Exco kerajaan negeri.

Walaupun begitu, baginda bertitah, tidak terkesan dengan gerakan tersebut dan akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

Titahnya, dengan kuasa dan pangkat yang ada, kepentingan Johor dan seluruh rakyatnya akan terus menjadi keutamaan baginda sampai bila-bila.

“Ini adalah motivasi buat saya, saya harap apabila saya sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, rakyat Johor akan kenang jasa dan perkhidmatan saya kepada negeri ini.

“Jika saya tak boleh guna kedudukan yang diberikan ini (Pemangku Sultan Johor) dan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk melakukan perubahan, baik tak perlu sahaja kedudukan ini,” titah baginda.

Tambah Tunku Ismail, matlamatnya adalah untuk membuat perubahan dan perbaiki negeri ini dan kehidupan rakyatnya dari setiap aspek termasuk pembangunan infrastruktur dan pendidikan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *