BERITA UTAMA
Harga baru diesel, bantuan RM200 untuk B40 tak cukup - Shahrulufti

Harga baru diesel, bantuan RM200 untuk B40 tak cukup – Shahrulufti

KUALA LUMPUR – Bantuan RM200 yang diberikan kerajaan kononnya untuk meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga diesel sebanyak RM3.35 seliter tidak mencukupi.

Sebaliknya, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa supaya jumlah itu dinaikkan sehingga RM400 sebulan jika benar-benar mahu meringankan beban golongan B40 yang menggunakan kenderaan diesel.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan kerajaan menarik balik subsidi diesel bukan keputusan yang bijak, tetapi memberi kesan teruk kepada kesejahteraan rakyat yang sebelum ini dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan.

“Pengusaha dan pengilang yang terkesan dengan kenaikan kos diesel sudah tentu akan menaikkan harga barang keluaran mereka. Adakah cukup dengan pemberian tunai RM200 sebulan kepada golongan bersasar?

“Bahkan, kenaikan RM2.15 kepada RM3.35 seliter jauh dari mencukupi jika sekadar RM200 sebulan dan kiraan atas 80 liter setiap kali isi minyak diesel sudah hampir RM300,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah mengumumkan harga diesel dijual pada kadar RM3.35 sen seliter bermula jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, kadar itu diselaraskan mengikut pasaran semasa di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia.

Menurut Shahrulufti, jika kerajaan dapat menjimatkan RM4 bilion dengan menarik balik subsidi, jumlah bantuan tunai bulanan sebanyak RM400 dianggap kecil dan dapat menjimatkan lagi duit rakyat.

Katanya, ketika dalam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama Anwar Ibrahim berjanji akan menurunkan harga minyak jika beliau menang dan dipilih sebagai perdana menteri.

“Ketika itu pula, meriam kapur PH, Rafizi Ramli memekik melolong sana sini meminta rakyat jangan mencarinya kalau kalau sebelumnya iaitu Barisan Nasional (BN) memansuhkan subsidi minyak itu.

“Sekarang, selepas PH menang, Anwar jadi perdana menteri dan Rafizi dilantik Menteri Ekonomi, tanpa rasa malu memansuhkan subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata, parti itu tegas mahu bantuan disalurkan harus merangkumi segala kos yang terkesan oleh kenaikan diesel tanpa dipengaruhi unsur politik demi memastikan keadilan sejati serta kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Ujar beliau lagi, Putra menekankan perlunya pelaksanaan bantuan secara telus, adil, dan efektif tanpa sebarang pilih kasih atas dasar politik dengan setiap rakyat yang layak menerima bantuan harus mendapatkannya secara lancar tanpa sebarang gangguan atau diskriminasi.

Tegas Shahrulufti, Putra tetap komited untuk terus berjuang demi kepentingan rakyat dan keadilan dalam masyarakat, memperjuangkan kemajuan dan kesejahteraan bersama. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *