Takiyuddin jumpa TPM bincang status peruntukan MP pembangkang

KOTA BHARU – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof Khamis ini untuk membincangkan mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, beliau yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk bertanyakan status terkini peruntukan itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, setakat ini Ahli Parlimen pembangkang tidak diberitahu mengenai peruntukan berkenaan, walaupun sudah ada pertemuan dengan wakil kerajaan.

“Perjumpaan Khamis ini bagi mengetahui perkembangan terkini berkaitan hal berkenaan.

“Kita juga difahamkan mereka sudah berbincang sesama mereka (parti kerajaan) mengenai peruntukan Ahli Parlimen,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Bharu di sini, semalam.

Kata Takiyuddin, sekiranya ada lagi syarat baru yang dikemukakan, pihaknya hendak tahu dengan jelas berkaitannya untuk dibincangkan bersama.

Jelas beliau, pembangkang meminta kerajaan melaksanakan apa yang sudah dijanjikan.

“Sebelum ini PN (ketika menjadi kerajaan) tidak pernah berjanji, malah tidak ada dalam manifesto mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen PH.

“Bagaimanapun kita mengagihkannya sama rata iaitu sebanyak RM3.5 setahun bagi setiap parlimen,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, draf MoU peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sedang dirangka akan memberi tumpuan kepada usaha membangun dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Fadillah, draf MoU yang sedang dirangka itu akan diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *