Hebat ADUN Stulang ada kuasa anjur program mohon kewarganegaraan - UMNO Johor

Hebat ADUN Stulang ada kuasa anjur program mohon kewarganegaraan – UMNO Johor

JOHOR – Siapakah ADUN Stulang sehingga mempunyai bidang kuasa yang besar untuk melaksanakan program permohonan kewarganegaraan?

Persoalan itu dibangkitkan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Yahya Jaafar berkaitan isu program permohonan kewarganegaraan yang dianjurkan ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan Penyelia Kewarganegaraan Pulau Pinang di Plaza Sentosa, Johor Bahru.

Katanya, permohonan berkaitan kewarganegaraan jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hanya di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan perlu melalui proses yang betul.

“Isu kewarganegaraan ini adalah satu perkara sensitif yang tidak sepatutnya digunakan sebagai ‘political milleage’.

“Namun, saya faham ADUN Stulang telah menangguhkan program ini, tetapi saya menggesa beliau membatalkan sahaja bagi mengelakkan spekulasi ini berpanjangan.

“ADUN Stulang, tidak perlulah nak menjadi hero terhadap isu yang sensitif seperti ini, apatah lagi dia adalah Ketua Pengimbang Negeri Johor. Jangan buat malu Negeri Johor dan Johor Bahru, ADUN Stulang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan 30 Jun ini ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

ADUN itu berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Poster program berkenaan yang tular di media sosial menyebabkan ia dikecam dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Malah, ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara berkenaan.

Kah Eng yang juga Setiausaha DAP meminta spekulasi tidak disebarkan berikutan salah faham yang timbul.

“Diharap tiada pihak menimbulkan spekulasi kerana ia berpunca daripada salah faham yang timbul dari tajuk poster kami,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *