Pahang tubuh jawatankuasa khas tangani isu pencemaran racun dalam sayur, buah

Pahang tubuh jawatankuasa khas tangani isu pencemaran racun dalam sayur, buah

KUANTAN – Satu jawatankuasa khas telah dibentuk kerajaan Pahang yang berfungsi menangani isu pencemaran racun serangga pada sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Razali Kassim berkata, pembentukan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak itu susulan aduan berhubung pencemaran racun pada sumber makanan tersebut.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu yang mengadakan mesyuarat pertama pada Rabu lalu telah menggariskan beberapa tindakan melibatkan pelbagai agensi di sepanjang rantaian bekalan bermula dari ladang hingga ke pasaran.

“Tumpuan lebih agresif difokuskan di peringkat ladang dengan pengusaha ladang akan dipantau dari segi kepatuhanan terhadap perundangan termasuk mendapat kelulusan dan lesen sah beroperasi serta berdaftar dengan Jabatan Pertanian, selain diwajibkan mendapat pensijilan MyGAP.

“Selain itu, pemilik ladang dan kebun serta pekerja mereka akan dilatih semula agar terlatih untuk mengendalikan racun di ladang, manakala semua pemilik kebun dan ladang akan diwajibkan mempunyai rekod penyimpanan data yang lengkap, bersistematik dan kebolehkesanan,” katanya.

Razali berkata, pelaksanaan itu melibatkan tindakan di bawah Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pertanian Negeri.

Bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan di pusat pengumpulan dan pasaran, agensi sedia ada seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PBT telah diminta mempertingkat aktiviti penguatkuasaan supaya tindakan lebih tegas dapat diambil.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membeli sayur dan buah yang mempunyai logo MyGAP dan pensijilan organik yang dikeluarkan Jabatan Pertanian atau logo pensijilan Kementerian Kesihatan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *